Monday, 30 June 2014

Telekung untuk Syuhada'

Tahun ini masuk tahun ke-4 berpuasa dengan adanya si kecil Syuhada'.  Tahun ini agak mencabar apabila dia sudah mula bersekolah dan bergaul dalam lingkungan rakan sebayanya. Sambutan bulan Ramadhan diwar-warkan di segenap pelusuk media hingga semua orang maklum termasuklah si kecil ini. Penuh semangat dia ingin berpuasa atau sebutan lidahnya 'berKuasa'. Kuasa=puasa. Hehe..

Pemintaan beliau untuk menyambut Ramadhan ada dua. Pertama telekung Dora. Kedua, baju jubah Frozen. Katanya nak pakai ke masjid solat tarawikh. Hehe. Untuk tak menghampakan impiannya, saya jahitkanlah dia telekung segera menggubakan kain bermotif Dora dan kawan-kawannya.




 


Fabrik bermotif Dora ini saya beli sewaktu balik ke kampung saya, Tawau. Di Kuala Lumpur saya pernah mencarinya tetapi hampa.

Bagi mengurangkan corak warna- warni ini saya gabungkan kain kosong di bahagian atas badan telekung. Saiz saya gunakan ialah saiz S. Rekabentuk pula saya pilih Lavenda design by Seharum Melur.

Walaupun jam telah menunjukkan jam 12 tengah malam, dia masih menahan mata semata-mata mahukan telekungnya disiapkan. Hehe.

Alhamdulillah, projek 1 jam setengah ini berjaya disiapkan dan telah dipakai oleh pemiliknya. Senyum hingga ke telinga dia sewaktu saya maklumkan sudah siap. Pagi tadi dia dengan penuh semangat membawa telekung tersebut ke sekolah kerana setiap pagi mereka akan solat sunat Dhuha berjemaah. Mujurlah ada lebihan beg telekung saya jahit dan simpan untuk stok. Kalau tak mungkin ada nyanyian lagu air mata waktu pagi hari daripada si kecil ini dan pasti dia bertanya akan beg telekungnya. Hehe.

Baiklah,sekadar ini dahulu coretan saya malam ini. Semoga ada manfaatnya.
Wassalam.


Sunday, 29 June 2014

Kebaikan itu daripada Yang Maha Baik.


Kebaikan itu daripada Yang Maha Baik.


Apabila  Allah menghendaki seseorang menjadi baik, maka diberi kemudahan baginya untuk memahami agama,
mencintai iman dan bencikan kemaksiatan

Hamba yang lidahnya penuh dzikir,
tak tergamak untuk berkata cela apalagi mencela.
Akalnya yang penuh keimanan
tak akan tega melafaz kata dusta.

Hamba yang khusyuk dalam solatnya,
baik pulalah tutur katanya,
kerana dia sedar,
Allah...
memerhati dan mengetahui setiap perbuatannya.
Hatta sedetik degup jantungnya tak pernah terlepas dari pengetahuan-Nya.

Terus-menerus hamba itu berdoa untuk kebaikan saudaranya,
sehingga malaikat menggantikan doa itu dengan mendoakan kembali kebaikan buat diri si hamba tersebut.

Hamba itu
yang sentiasa berprasangka baik terhadap sesama manusia akan berprasangka baik kepada Allah...

"bahawa setiap ketetapan Allah adalah yang terbaik dan pasti berakhir dengan indah."

Sungguh,
Allah itu Maha Baik
dan sukakan kebaikan
dan Dia tak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya.

Semoga puasa akan menghantar kita ke jalan taqwa diiring bekal kesabaran.

#Catatan Mata Pena buat diriku yang pelupa#
arnisasoga.blogspot.com

Monday, 23 June 2014

Ketenangan Adalah Kebahagiaan : Ubatlah Hatimu

Bismillah..
Assalamualaikum.

Semoga semuanya sihat dan ceria.

Suatu malam, saya menerima mesej melalui sistem pesanan ringkas daripada seseorang yang saya sangat akrab. Lama benar tak mendengar berita dirinya. Sejak kedua-duanya berkahwin dan punyai anak masing-masing, kesibukan mengurus hal keluarga dan kerja rumah sedikit mengekang untuk kami sering berhubung kecuali hal penting.

Ya, malam ini kehadiran mesej beliau pastinya ada sesuatu yang sangat penting. Tengah malam begini beliau menghubungi saya, saya anggap bukan suka-suka seperti kami masih perawan dahulu.

"Kak, maaf ganggu akak malam-malam begini. Sebenarnya saya tak tahu nak cerita dengan siapa, namun saya dah tak mampu menderita lagi."

Saya segera membalas,

"Salam. Ya dik, ceritalah. Insya'allah akak akan bantu."

Beberapa ketika handphone saya berbunyi lagi menandakan SMS masuk.

"Saya tak tenang kak. Saya tak tahu kenapa saya rasa begini. Saya buntu."

"Kenapa? Bergaduh dengan suami ke?" 

Saya bertanya.

" Tidak kak. Kami sekeluarga alhamdulillah. Ok.cuma akhir-akhir ini hati saya sering tak tenang. Segala yang saya lakukan semuanya serba tak kena hingga anak-anak saya menjadi mangsa kemarahan saya akibat kerunsingan saya. Akak tau jelah budak-budak bukan faham mak bapa tengah tak sihat ke, ada masalah ke. Sepah mainan sana sini."

Saya berfikir sejenak. Cuba menyelidiki lagi punca ketidaktenangan hati sahabat saya itu. Soalan demi soalan saya tanya dan dia menjawab berulang kali "Saya tak tahu, hati saya memang rasa tak tenang."

Lalu saya menulis sepucuk surat kepadanya melalui e-mel. Saya menghantarnya usai melakukan solat Subuh keesokan harinya. Mudah-mudahan sama-sama kami mendapat manfaatnya. Surat tersebut berbunyi begini :

Assalamualaikum sahabatku. 
Meski saya belum tahu punca hatimu tak tenang, saya cuba membantumu dengan ingatan serba ringkas ini. Bacalah dengan nama Tuhan-Mu, Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Dia yang menjadikan hati kita sesuci dan sesejuk embun pagi. 

Namun, kita hanya insan yang seringkali alpa.
Seringkali hanyut dibawa arus nafsu dan dosa sendiri. 

Wahai sahabatku yang kurindui,

Tika hati sedang bersedih, 
Saat jiwamu bersarang kerisauan, 
Waktu egomu tak mahu tunduk dek kemarahan, 
sedang cemburu dengki, 
Semasa dirimu tiada motivasi meneruskan hidup, 
dan 
segalanya tentang hati yang tidak tenang, ubatlah dengan lima perkara. Pilihlah salah satunya andai diri tak mampu melakukan semuanya. Lakukanlah secara perlahan-lahan namun istiqomah.

1.  Bacalah Al-Quran dan fahamilah maknanya. Sungguh, Al-Quran adalah mukjizat yang agung.

2. Solat malam (qiyamullail). Waktu malam adalah waktu paling tenang, dan paling hening. Waktu inilah juga yang paling sukar untuk bangun kecuali bagi orang yang bersungguh-sungguh.

3. Bergaullah dengan orang-orang soleh. Orang soleh mampu menegur,dan memperbaiki kesilapan kita samada dengan kata-kata ataupun akhlak mereka. 

4. Berpuasalah. Puasa dapat mengekang kita daripada sifat-sifat mazmumah dan mampu menundukkan hawa nafsu.

5. Zikir malam yang berpanjangan. 

Berkata seorang ulama, Ibrahim Al- Khawas R.A: "Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut. Yang pertama, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandungannya, yang kedua berpuasa, yang ketiga bangun (beribadat) pada waktu malam, keempat menghampirkan diri kepada Allah (beribadat)  pada sepertiga malam, dan kelima sentiasa bersama- sama di majlis orang- orang soleh.


Sahabatku,

Semoga kita sentiasa berusaha mencari ketenangan kerana ketenangan adalah kebahagiaan.

Sampai jumpa lagi. Doaku dari jauh.
Wassalam.

Setelah berlalu saat itu, lama kami tidak menghubungi satu sama lain. Berbulan-bulan jugalah. Namun, beberapa lama kemudian, dia menghantar SMS lagi kepada saya. 

"Salam. Kak,terima kasih atas ingatan akak tempoh hari. Alhamdulillah kak, saya dah ok. Saya tak lagi suka berfikir bukan-bukan, risau tak tentu hala, dan kini saya lebih tenang. Rupanya kak, hati yang tak tenang mungkin kerana saya mengabaikan hubungan saya dengan Allah selama ini. Lantas Dia menguji sedikit diri hamba-Nya ini agar kembali mengingati-Nya. Hidup saya kini juga lebih bahagia."

Alhamdulillah. Segala yang baik hanyalah daripada Allah.
Benarkan, ketenangan adalah kebahagiaan. Kebahagiaan hakiki adalah ketika kita kembali bertemu dengan Sang Pencipta kita bersama hati yang suci bersih tanpa sebarang noda dan dosa.

Sunday, 22 June 2014

Telekung Kanak-kanak Ceria


Bismillah.
Assalamualaikum para pembaca budiman. Kali ini, saya ingin memperkenalkan satu lagi produk saya iaitu Telekung Kanak-kanak Ceria (TKC)
Telekung ini menggunakan getah di bahagian lapik dahi. Tujuan menggunakan getah adalah bagi menyelesaikan masalah sempit atau longgar juga membantu anak-anak rasa selesa walaupun dalam keadaan aktif. Tali pengikat juga menggunakan tali bersaiz 1/4 inci. Mudah dipakai.
Telekung ini terdapat dalam dua jenis kain iaitu Tetron cotton (TC) dan jersi.

Panduan saiz dan ukuran telekung mengikut umur

SAIZ
SAIZ MUKA (Darab 2)
UMUR
UKURAN LABUH DEPAN
UKURAN LABUH BELAKANG
LABUH KAIN
SS
10 “
2-3
25
27
28
S
10.5
4-5
28
30
34
M
11
6-7
31
33
38
L
11.5
8-10
36
37
43
XL
12
11-12
40
42
50








  Telekung Kanak-kanak Ceria daripada kain TC (Tetron Cotton)






Telekung Kanak-Kanak Ceria daripada Kain Jersi

Bagi yang berminat membuat tempahan bolehlah menghubungi Nisa' di talian : 019-4001674 atau Pm ke FB : Seharum Melur Enterprise.

Tudung Untuk Anak Dara Comelku

Bismillah.

Assalamualaikum.

Sebenarnya, sudah lama saya tidak menjahit tudung kanak-kanak. Ada dalam sebulanlah. Hehe.. Menjahit tudung untuk anak kecil memang menyeronokkan. Apatah lagi yang penuh dengan hiasan dan warna. 
Antara rekaan tudung yang pernah saya jahit untuk anak dara saya ialah tudung flora. Saya hanya menggunakan kain jersi dan menggunakan teknik renda pleat di bahagian tepi tudung. Bahagian awning saya hias dengan flower lace timbul. Manakala di hujung awning saya letakkan renda cotton baki renda telekung:) Jimat...:) 
Tudung ini saya jahit khas untuk dia pakai semasa majlis walimah adik ipar saya. Hehe.. comelkan?


Tudung ini sepasang dengan baju jubah seluarnya. Daripada idea tudung ini saya kembangkan menjadi pelbagai lagi rekaan tudung lain. Baiklah, itu sahaja untuk kali ini. Boleh cuba idea ini ya.

Friday, 20 June 2014

Rak Benang

  Bismillah.
Assalamualaikum..

Bagi yang sudah biasa menjahit atau tukang jahit, pasti anda biasa mengalami masalah benang bergulung atau saling berkait satu sama lain kan?Maksud saya di sini, apabila anda menyimpan benang yang tidak digunakan waktu itu dalam satu bekas, benang-benang tersebut sering kait mengait atau berselirat satu sama lain. Hal ini menyebabkan benang tersebut adakalanya terpaksa dipotong atau diputuskan. Membazir bukan?
Baiklah, untuk entri kali ini, saya nak kongsikan tips untuk menyelesaikan masalah tersebut. Sediakan rak benag atau bekas yang kita boleh letakkan benang secara menegak. Kenapa menegak? Jawapannya, agar kita mudah mengambil benang yang ingin digunakan tanpa menarik benang yang lain. Jika kita meletaknya secara melintang@baring ia akan bersusun dan inilah yang akan menyebabkan benang-benang tersebut bersangkutan dengan benang lain sewaktu kita mengambil benang khususnya di bahagian bawah.Akhirnya nanti akan bergumpal-gumpal. Sakit mata melihatnya.

Untuk saya, sebelum ini saya gunakan polisterin. Saya balut dengan kertas pembalut hadiah yang tebal. Setelah itu saya cucuk pencungkil gigi secara berjarak supaya susunan benang nanti tak terlalu rapat. Agak lama juga saya gunakan rak benang cap tangan saya ni.Maklumlah, mahu beli yang siap dijual harganya boleh tahan juga.Hehe..


Setelah lama menggunakan rak tersebut, saya beralih pula kepada satu cara lagi. Rak tadi memang bagus cuma terlalu kecil sedangkan benang saya bertambah.
Kali ini saya menggunakan bekas plastik makanan yang berwarna jernih. Bekas ini bukanlah standard Tupperware. Bekas kek kakak saya berikan satu waktu dahulu. Benang saya susun menegak seperti saya terangkan pada awal tadi.

Namun,setelah lama menggunakan kaedah ini, saya ternampak satu gambar rak benang yang sangat comel dalam facebook kawan saya. Timbul idea untuk meminta bantuan abang saya di Sabah untuk membuatnya. Hihi. Beliau pandang bertukang. Saya hantar gambar contoh rak benang tersebut. Alhamdulillah, kini ia sudah ada dalam bilik jahitan saya yang serba serbi kekurangan lagi. Terima kasih posmen kerana cepat menghantarnya ke rumah saya.


Rak benang ini berfungsi sebelah depan ,belakang dan atas. Kemaskan? Oleh itu, jangan segan-segan untuk mencuba pelbagai idea yang boleh memudahkan kita. Insya'allah banyak masalah akan selesai.:




Tuesday, 17 June 2014

Telekung Kanak-kanak Manja

Bismillah...
Assalamualaikum. 

Semoga sihat dan ceria hendaknya. Untuk produk kali ini, saya ingin memperkenalkan Telekung Kanak-kanak Manja. 

Model comel mencuba. Beliau sedang tidur nyenyak saya kejutkan. Hihi..

Telekung ini merupakan tempahan daripada seorang ibu yang bakal berangkat ke Mesir. Dua minggu sebelum bertolak beliau membuat tempahan ini untuk dihadiahkan kepada puterinya di sana nanti. Telekung ini bersaiz S, sesuai dengan anak beliau berumur 2 tahun. Ukuran labuh depan 28 inci, manakala belakang 20 inci. 


Bahagian lapik dahi saya gunakan piping untuk mengemaskannya. Renda berwarna merah jambu lembut saya susun dua baris kerana renda ini kecil iaitu 1 inci lebar sahaja.


Saya menggunakan kain polycotton Euro yang tebal tetapi lembut dan halus. Sangat mudah diseterika. Untuk pengikat kepala, saya gunakan getah berukuran 1/4 inci lebar. Getah elastik ini sangat lembut dan tidak sakit bila terkena di telinga.

Baiklah. sekadar itu dahulu corat coret saya untuk telekung si Manja ini. Alhamdulillah, sudah selamat sampai ke tangan pelanggan. Terima kasih. ;)

Resepi Bergedil Jagung Kak Nisa':)

Bismillah...
Assalamualaikum. 

Kali ini saya ingin berkongsi satu resepi turun temurun keluarga saya. Hehe... sudi-sudilah ya.
Nama resepi ini ialah Bergedil Jagung Kak Nisa':)







Bahan-bahan :
3 biji jagung manis (ambil isi sahaja)
1 biji telur ayam
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
Halia 1-2cm
Lada putih/hitam
Daun sup
Tepung gandum sedikit
Garam
Gula
Minyak masak untuk menggoreng

Cara-cara menyediakan :
Jagung yang telah dibasuh bersih diambil isi.
Kemudian tumbuk kasar jagung tersbut untuk mengeluarkan jusnya tetapi jangan dibuang. Tujuannya bagi mengelakkan ia meletup-letup ketika digoreng
Ketepikan jagung yang telah ditumbuk tadi.


Bawang merah, bawang putih, halia dan lada putih/hitam tadi dibersihkan kemudian tumbuk sekali semua hingga lumat.
Setelah itu, campurkan semua bahan tersebut ke dalam jagung tadi. Gaulkan. Masukkan pula sedikit tepung gandum kira-kira 4 sudu makan penuh. Masukkan pula hirisan daun sup dan jika suka boleh tambah kubis, taugeh, daun bawang atau bawang Bombay. Pecahkan sebiji telur ke dalam adunan tadi. Jika kelihatan masik terlalu kering, boleh tambah sebiji telur lagi. Tetapi harus diingat, jangan sampai ia jadi cair pula. Bimbang ia tidak melekat semasa digoreng. 
 Adunan yang telah ditambah telur. 

Akhir sekali, setelah adunan dicampur garam dan sedikit gula (boleh rasa dulu), panaskan minyak. Jika minyak telah cukup panas, gunakan sudu makan atau sudu yang sesuai untuk mencedok adunan tadi dan goring hingga warna keemasan. 

 Bah, beginilah bergedil jagung yang telah siap digoreng. Nyum...

Hidangan ini sedap jika dihidangkan bersama brobok (sejenis makanan Bugis) atau makan bersama nasi. Boleh juga dijadikan snek minum petang bersama air teh. Selamat mencuba:)