Saturday, 3 January 2015

Projek Telekung Untuk Mangsa Banjir Pantai Timur

Seminggu yang penuh cabaran. Terkeja-kejar memenuhi permintaan pelanggan. Tudung sekolah, telekung kanak-kanak, dan album pouch. Paling mencabar ialah menyiapkan tempahan telekung untuk projek beli dan wakaf untuk mangsa banjir dan surau serta masjid di Pantai Timur ketika ini.

Projek ini pada asalnya bermula apabila saya menjahit beberapa pasang untuk dihantar sebagai sumbangan individu saya. Saya tidak banyak wang untuk disedekahkan. Namun, setiap kali melihat gambar-gambar mangsa banjir, runtun jiwa saya. Lalu saya terfikir untuk menambah lagi pemberian berdasarkan kain-kain telekung yang belum berjahit masih ada dalam simpanan saya. Ketika rakan saya yang mengutip sumbangan datang ke rumah untuk mengambil telekung-telekung tersebut, dia mencadangkan supaya saya sediakan harga untuk pakej beli dan wakaf. Saya tidak setuju kerana pada anggapan saya biarlah saya sedekah saja cukuplah.

Esoknya saya tambah lagi beberapa pasang. Seharian menyiapkannya. Jam 4.30pagi. Sebelum saya melelapkan mata yang sudah berhari-hari tidak mendapat rehat yang cukup, sempat saya membuat satu posting ke laman Facebook saya. Gambar telekung untuk disumbangkan kepada mangsa banjir. Tidak ada tujuan lain, hanya dengan harapan agar kebaikan yang kita lakukan menjadi contoh buat orang lain. Itu sahaja niat saya. Bukan untuk berbangga-bangga apatah lagi dengan sumbangan yang tak sebesar mana. Tidak sampai 5 minit, seseorang memberi komen pada status saya di Facebook tadi. Beliau ingin menempah 10 pasang untuk sumbangan ke Pantai Timur. Saya tidak terus membalasnya kerana terasa sangat letih. Sewaktu kedengaran azan Subuh, telefon saya berbunyi menandakan ada mesej masuk. Saya membaca mesej tersebut segera. Terkejut saya kerana seorang pelanggan saya ingin menempah 15 pasang telekung kanak-kanak. Subhanallah... rezeki datang dari arah yang tidak disangka-sangka. Saya membalas kedua-dua permintaan pelanggan tersebut.







Keesokan harinya saya mendapat tempahan lagi. Untuk mangsa banjir juga. Beliau memberi sejumlah wang dan meminta saya menguruskan telekung yang sesuai jumlah wangnya yang pada hemat saya, banyaknya...Hehe. Setengah jam berlalu seusai berbincang dengan si dermawan tadi, tempahan masuk lagi. 10 pasang, daripada pelanggan semalam, juga untuk mangsa banjir. Allahuakbar. Saya sebenarnya tidak menyangka ini akan terjadi. Saya juga tidak mahu mengenakan sebarang caj keuntungan untuk telekung yang hendak dihantar kepada mangsa banjir tersebut. Tidak sampai hati rasanya.Namun, memikirkan kos elektrik dan sedikit kos logistik yang perlu ditanggung, saya mengambil keputusan untuk meletakkan sedikit harga pada telekung tersebut. Alhamdulillah. Syukur. Tenang hati saya melakukan kerja-kerja ini. Biar tidak hilang keikhlasan kerana keletihan yang tidak mendatangkan keuntungan di dunia namun tidak pula sampai merugikan dan yakin janji Allah tidak ada yang mengecewakan.
Rekaan bahagian muka yang sangat ringkas namun selesa.
Ini model comel:)

Hingga saat saya menulis di laman ini, tempahan demi tempahan masuk. Bukan hanya untuk mangsa banjir, tetapi untuk individu, untuk surau sekolah, untuk para muallaf dan tidak kurang juga untuk hadiah kepada ahli keluarga. Subhanallah. Sekali lagi tasbih ku memuji-Mu.

Sedikit kita berikan dengan keikhlasan, Allah ganjari dengan gandaan yang tidak kita sangka. Allahu akbar!!


Teman-teman setia saya setiap malam. 





Sedia untuk dihantar.

Untuk semua yang telah menyumbang sama ada dari segi material fabrik, renda, dan wang saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Semoga Allah ganjarkan dengan pahala yang sentiasa mengalir hingga membawa ke syurga.


Bagi yang berminat untuk projek BELI DAN WAKAF kepada mangsa banjir boleh hubungi saya di talian 0194001674. 
Kami ada pakej yang menarik.
http://arnisasoga.blogspot.com/

Friday, 2 January 2015

Tirai 2015: Semoga Duka Menyubur Iman

Tahun 2014 telah melabuhkan tirainya. 2015 muncul, membuka tirai baru. Seawal tahun ini, umum mengetahui dan merasai kepiluan yang bukan kepalang. 2014 yang ditutup dengan musibah banjir. Kerosakan dan kematian yang tidak pernah dijangka. Belum sempat menginjak lantai 2015, di hujung tahun malang 2014 itu dunia dikejutkan dengan petaka QZ8501 terhempas di lautan. Sekali lagi air mata mengiringi.





Sungguh, musibah datang tanpa dijangka. Kehilangan, kesakitan adalah sebahagian daripada kehidupan. Hakikatnya, semua itu adalah ujian. Kesusahan, kesedihan, perpisahan, kehilangan, bahkan kesenangan dan kemewahan juga merupakan ujian. Hidup ini sesungguhnya adalah sebuah ujian. Setiap jiwa yang dihidupkan di dunia ini tidak telepas daripada ujian. Untuk apa? Bagi ALLAH Tuhan Yang Maha Berkuasa, sebuah ujian adalah bagi melihat siapakah antara hamba-hamba-Nya yang paling mencintai-Nya.


Untuk seorang hamba, sepatutnya setiap ujian adalah tingkat pertambahan iman. Sejauh mana kita harus bergantung kepada Tuhan, ketika sesuatu ujian datang, di situlah ukuran iman kita. Ada orang yang diuji dengan kehilangan harta benda, dia menjadi gila kerana kesedihan yang tidak disandarkan kepada Tuhan. Ada pula yang beriman ketika ujian datang, setelah tiba saat senang, dia kembali kufur dan lupa kepada yang memberinya kesenangan. 




كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۗ وَنَبۡلُوكُم بِٱلشَّرِّ وَٱلۡخَيۡرِ فِتۡنَةً۬‌ۖ وَإِلَيۡنَا تُرۡجَعُونَ 
“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan [yang sebenar-benarnya]. Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”
QS : Al-Anbiya : 35

أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ 
Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan [saja] mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?.” 

وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ‌ۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَـٰذِبِينَ
“Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
QS : Al-Ankabut : 2 – 3
Nah, sudahkah kita mengamati dan menghayati ayat-ayat Allah di atas? Barangkali kita sering terjumpa dan membaca ayat-ayat ini. Kita mengakui kebenarannya ketika kita tidak merasakan ujian yang menyakitkan. Namun, saat Allah timpakan musibah, di sinilah tempat kita sepatutnya memasakkan keimanan kita. Ya, Maha Benar Allah:
1. Setiap yang berjiwa pasti akan mati. 
2. Kebaikan dan keburukan adalah ujian yang sebenar-benarnya. 
3. Mengakui hati beriman sahaja belum cukup selagi ujian tidak datang. 
4. Allah memberi ujian bukan hanya kepada kita, tetapi seluruh ummat manusia sebelum kita ada di muka bumi ini lagi. 
5. Daripada ujian-ujian itulah terpisahnya antara orang yang benar dan orang yang dusta. 

Yakin, dan percayalah. Setiap ujian yang datang tidak ada satu pun yang bertujuan menyiksa para hamba-Nya. Ujian menyucikan hati yang kotor. Ujian menguatkan kebergantungan kepada Tuhan. Ujian mencambah rasa kehambaan. Ujian menyemai cinta kepada-Nya. Ujian mengajar erti kemaafan tehadap insan lain. Ujian menerbitkan kekuatan jiwa menghadapi onak duri dunia. Tanpa ujian, kita tidak akan dapat mengukur kekuatan hati kita. Tanpa ujian kita tidak akan mengenali diri kita. Akhirnya, tanpa ujian apalah ertinya sebuah syurga.
Selamat menempuh kehidupan dengan azam yang baru. Ketika kita sudah punya azam, maka bertawakkallah kepada-Nya. Sabar dan tabahlah dengan ujian, kerana kesusahan yang dirasakan hari ini, sebenarnya Allah sediakan kebaikan yang jauh lebih baik di hadapan nanti. Janji Allah tidak pernah mengecewakan.
arnisasoga.blogspot.com

Berminat menempah telekung? Dapatkan pada kadar harga yang berpatutan dan kualiti memuaskan di sini :
http://arnisasoga.blogspot.com/