Tuesday, 14 April 2015


Kebaikan itu daripada Yang Maha Baik.

Apabila  Allah menghendaki seseorang menjadi baik, maka diberi kemudahan baginya untuk memahami agama,
mencintai iman dan bencikan kemaksiatan

Hamba yang lidahnya penuh dzikir,
tak tergamak untuk berkata cela apalagi mencela.
Akalnya yang penuh keimanan
tak akan tega melafaz kata dusta.

Hamba yang khusyuk dalam solatnya,
baik pulalah tutur katanya,
kerana dia sedar,
Allah...
memerhati dan mengetahui setiap perbuatannya.
Hatta sedetik degup jantungnya tak pernah terlepas dari pengetahuan-Nya.

Terus-menerus hamba itu berdoa untuk kebaikan saudaranya,
sehingga malaikat menggantikan doa itu dengan mendoakan kembali kebaikan buat diri si hamba tersebut.

Hamba itu
yang sentiasa berprasangka baik terhadap sesama manusia akan berprasangka baik kepada Allah...

"bahawa setiap ketetapan Allah adalah yang terbaik dan pasti berakhir dengan indah."

Sungguh,
Allah itu Maha Baik
dan sukakan kebaikan
dan Dia tak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya.

Semoga keikhlasan akan menghantar kita ke jalan taqwa diiring bekal kesabaran.

arnisasoga.blogspot.com

Saturday, 3 January 2015

Projek Telekung Untuk Mangsa Banjir Pantai Timur

Seminggu yang penuh cabaran. Terkeja-kejar memenuhi permintaan pelanggan. Tudung sekolah, telekung kanak-kanak, dan album pouch. Paling mencabar ialah menyiapkan tempahan telekung untuk projek beli dan wakaf untuk mangsa banjir dan surau serta masjid di Pantai Timur ketika ini.

Projek ini pada asalnya bermula apabila saya menjahit beberapa pasang untuk dihantar sebagai sumbangan individu saya. Saya tidak banyak wang untuk disedekahkan. Namun, setiap kali melihat gambar-gambar mangsa banjir, runtun jiwa saya. Lalu saya terfikir untuk menambah lagi pemberian berdasarkan kain-kain telekung yang belum berjahit masih ada dalam simpanan saya. Ketika rakan saya yang mengutip sumbangan datang ke rumah untuk mengambil telekung-telekung tersebut, dia mencadangkan supaya saya sediakan harga untuk pakej beli dan wakaf. Saya tidak setuju kerana pada anggapan saya biarlah saya sedekah saja cukuplah.

Esoknya saya tambah lagi beberapa pasang. Seharian menyiapkannya. Jam 4.30pagi. Sebelum saya melelapkan mata yang sudah berhari-hari tidak mendapat rehat yang cukup, sempat saya membuat satu posting ke laman Facebook saya. Gambar telekung untuk disumbangkan kepada mangsa banjir. Tidak ada tujuan lain, hanya dengan harapan agar kebaikan yang kita lakukan menjadi contoh buat orang lain. Itu sahaja niat saya. Bukan untuk berbangga-bangga apatah lagi dengan sumbangan yang tak sebesar mana. Tidak sampai 5 minit, seseorang memberi komen pada status saya di Facebook tadi. Beliau ingin menempah 10 pasang untuk sumbangan ke Pantai Timur. Saya tidak terus membalasnya kerana terasa sangat letih. Sewaktu kedengaran azan Subuh, telefon saya berbunyi menandakan ada mesej masuk. Saya membaca mesej tersebut segera. Terkejut saya kerana seorang pelanggan saya ingin menempah 15 pasang telekung kanak-kanak. Subhanallah... rezeki datang dari arah yang tidak disangka-sangka. Saya membalas kedua-dua permintaan pelanggan tersebut.







Keesokan harinya saya mendapat tempahan lagi. Untuk mangsa banjir juga. Beliau memberi sejumlah wang dan meminta saya menguruskan telekung yang sesuai jumlah wangnya yang pada hemat saya, banyaknya...Hehe. Setengah jam berlalu seusai berbincang dengan si dermawan tadi, tempahan masuk lagi. 10 pasang, daripada pelanggan semalam, juga untuk mangsa banjir. Allahuakbar. Saya sebenarnya tidak menyangka ini akan terjadi. Saya juga tidak mahu mengenakan sebarang caj keuntungan untuk telekung yang hendak dihantar kepada mangsa banjir tersebut. Tidak sampai hati rasanya.Namun, memikirkan kos elektrik dan sedikit kos logistik yang perlu ditanggung, saya mengambil keputusan untuk meletakkan sedikit harga pada telekung tersebut. Alhamdulillah. Syukur. Tenang hati saya melakukan kerja-kerja ini. Biar tidak hilang keikhlasan kerana keletihan yang tidak mendatangkan keuntungan di dunia namun tidak pula sampai merugikan dan yakin janji Allah tidak ada yang mengecewakan.
Rekaan bahagian muka yang sangat ringkas namun selesa.
Ini model comel:)

Hingga saat saya menulis di laman ini, tempahan demi tempahan masuk. Bukan hanya untuk mangsa banjir, tetapi untuk individu, untuk surau sekolah, untuk para muallaf dan tidak kurang juga untuk hadiah kepada ahli keluarga. Subhanallah. Sekali lagi tasbih ku memuji-Mu.

Sedikit kita berikan dengan keikhlasan, Allah ganjari dengan gandaan yang tidak kita sangka. Allahu akbar!!


Teman-teman setia saya setiap malam. 





Sedia untuk dihantar.

Untuk semua yang telah menyumbang sama ada dari segi material fabrik, renda, dan wang saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Semoga Allah ganjarkan dengan pahala yang sentiasa mengalir hingga membawa ke syurga.


Bagi yang berminat untuk projek BELI DAN WAKAF kepada mangsa banjir boleh hubungi saya di talian 0194001674. 
Kami ada pakej yang menarik.
http://arnisasoga.blogspot.com/

Friday, 2 January 2015

Tirai 2015: Semoga Duka Menyubur Iman

Tahun 2014 telah melabuhkan tirainya. 2015 muncul, membuka tirai baru. Seawal tahun ini, umum mengetahui dan merasai kepiluan yang bukan kepalang. 2014 yang ditutup dengan musibah banjir. Kerosakan dan kematian yang tidak pernah dijangka. Belum sempat menginjak lantai 2015, di hujung tahun malang 2014 itu dunia dikejutkan dengan petaka QZ8501 terhempas di lautan. Sekali lagi air mata mengiringi.





Sungguh, musibah datang tanpa dijangka. Kehilangan, kesakitan adalah sebahagian daripada kehidupan. Hakikatnya, semua itu adalah ujian. Kesusahan, kesedihan, perpisahan, kehilangan, bahkan kesenangan dan kemewahan juga merupakan ujian. Hidup ini sesungguhnya adalah sebuah ujian. Setiap jiwa yang dihidupkan di dunia ini tidak telepas daripada ujian. Untuk apa? Bagi ALLAH Tuhan Yang Maha Berkuasa, sebuah ujian adalah bagi melihat siapakah antara hamba-hamba-Nya yang paling mencintai-Nya.


Untuk seorang hamba, sepatutnya setiap ujian adalah tingkat pertambahan iman. Sejauh mana kita harus bergantung kepada Tuhan, ketika sesuatu ujian datang, di situlah ukuran iman kita. Ada orang yang diuji dengan kehilangan harta benda, dia menjadi gila kerana kesedihan yang tidak disandarkan kepada Tuhan. Ada pula yang beriman ketika ujian datang, setelah tiba saat senang, dia kembali kufur dan lupa kepada yang memberinya kesenangan. 




كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۗ وَنَبۡلُوكُم بِٱلشَّرِّ وَٱلۡخَيۡرِ فِتۡنَةً۬‌ۖ وَإِلَيۡنَا تُرۡجَعُونَ 
“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan [yang sebenar-benarnya]. Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”
QS : Al-Anbiya : 35

أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ 
Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan [saja] mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?.” 

وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ‌ۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَـٰذِبِينَ
“Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
QS : Al-Ankabut : 2 – 3
Nah, sudahkah kita mengamati dan menghayati ayat-ayat Allah di atas? Barangkali kita sering terjumpa dan membaca ayat-ayat ini. Kita mengakui kebenarannya ketika kita tidak merasakan ujian yang menyakitkan. Namun, saat Allah timpakan musibah, di sinilah tempat kita sepatutnya memasakkan keimanan kita. Ya, Maha Benar Allah:
1. Setiap yang berjiwa pasti akan mati. 
2. Kebaikan dan keburukan adalah ujian yang sebenar-benarnya. 
3. Mengakui hati beriman sahaja belum cukup selagi ujian tidak datang. 
4. Allah memberi ujian bukan hanya kepada kita, tetapi seluruh ummat manusia sebelum kita ada di muka bumi ini lagi. 
5. Daripada ujian-ujian itulah terpisahnya antara orang yang benar dan orang yang dusta. 

Yakin, dan percayalah. Setiap ujian yang datang tidak ada satu pun yang bertujuan menyiksa para hamba-Nya. Ujian menyucikan hati yang kotor. Ujian menguatkan kebergantungan kepada Tuhan. Ujian mencambah rasa kehambaan. Ujian menyemai cinta kepada-Nya. Ujian mengajar erti kemaafan tehadap insan lain. Ujian menerbitkan kekuatan jiwa menghadapi onak duri dunia. Tanpa ujian, kita tidak akan dapat mengukur kekuatan hati kita. Tanpa ujian kita tidak akan mengenali diri kita. Akhirnya, tanpa ujian apalah ertinya sebuah syurga.
Selamat menempuh kehidupan dengan azam yang baru. Ketika kita sudah punya azam, maka bertawakkallah kepada-Nya. Sabar dan tabahlah dengan ujian, kerana kesusahan yang dirasakan hari ini, sebenarnya Allah sediakan kebaikan yang jauh lebih baik di hadapan nanti. Janji Allah tidak pernah mengecewakan.
arnisasoga.blogspot.com

Berminat menempah telekung? Dapatkan pada kadar harga yang berpatutan dan kualiti memuaskan di sini :
http://arnisasoga.blogspot.com/




Sunday, 21 December 2014

Rona Kehidupan Bagai Sebuah Jahitan

Sewaktu saya bertugas di pusat pemulihan akhlak dahulu, saya pernah mengikuti kelas jahitan bersama seorang guru sukarela yang datang mengajar para pelatih di situ. Suatu hari ketika kelas sedang berlangsung, guru itu berkata, 

"Menjahit ni seninya tinggi. Banyak kperkara yang dapat kita pelajari. Menjahit umpama kita menjalani sebuah kehidupan, ada waktu kita gembira menjahit, ada waktu kita stres. Sesekali kita tersilap jahit, walau sudah bertahun-tahun kita menjahit benda yang sama. Semua ini akan membentuk sebuah kesabaran. Jika kita tak sabar dan cepat putus asa, kita takkan mampu menjadi tukang jahit yang berjaya. Begitulah juga dengan kehidupan, adakalanya kita gagal sebelum berjaya, kita tertekan dengan segala kesusahan dan ujian dari Tuhan. Hakikatnya, kesabaran sahaja yang akan membantu kita mengatasi sesebuah ujian itu walau sesukar mana sekalipun. Sama jugalah dalam hal mendidik anak. Sesekali kita diuji dengan karenah anak."

Saya terkedu dan masih terngiang-ngiang kata-kata guru tersebut. Sehingga suatu hari saya didatangi oleh satu kes. Seorang ibu yang tertekan apabila anaknya didapati melacurkan diri.


Disebabkan makcik terlalu kecewa dan buntu, makcik pernah doakan supaya anak itu segera mati. Lebih baik mati daripada menyusahkan orang lain!!”

Sebenarnya saya sangat ingin menyelami hati wanita itu. Seorang wanita separuh umur. Dia sudah terlalu buntu. Suaminya juga punya rasa yang sama sepertinya.

“Adik (gelarannya kepada saya) tahu, suami makcik sudah beberapa kali kata nak pijak dia sampai mati. Setiap kali kami bangun tidur, perkara pertama yang kami fikirkan adalah dia, anak tak tahu diuntung itu.”

Wajah si ibu kelihatan terlalu geram. Seketika, dia menyapu air mata yang mula mengalir di pipinya. Deras sekali.Menandakan kesedihan menyelinap jiwa dan seluruh dirinya.


Gambar hiasan

“Makcik bukan bencikan dia, tapi perbuatannya kepada kami ibu bapa kandungnya sungguh melukakan hati. Dia tak mahu sekolah, lepas tu kejar lelaki sana sini. Kepala batunya bukan kepalang. Tiada satu pun perkataan kami dia nak dengar. Penipunya, jangan kiralah.”

             Pertemuan petang itu diatur khusus untuk memberi kaunseling kepada seoang remaja perempuan yang terlibat dengan kes pelacuran. Anak ibu berwajah sendu tadi. Bersama tiga orang sahabat dan seorang ustazah, kami bawa dua beranak itu ke sebuah surau. Seusai melakukan solat Asar, kaunseling dijalankan. Ustazah memberi kaunseling kepada anak perempuannya, dan saya diminta memberi kaunseling ringan-ringan kepada si ibu.
Sepanjang perbualan, saya dapati si ibu sudah terlalu berputus asa. Mungkin kerana segala usahanya untuk memulihkan anak sulungnya itu menemui jalan buntu.

“Disebabkan makcik terlalu kecewa dan buntu, makcik pernah doakan supaya anak itu mati. Lebih baik mati daripada menyusahkan orang lain!!”

Kata-katanya mengejutkan saya. Memang, sepanjang saya terlibat dengan pengendalian kes remaja sosial, itu ayat yang biasa terluncur dari bibir seorang ibu ataupun ayah. Saya beristighfar dalam hati. Dalam-dalam. Cuba untuk membantu ibu tadi agar sabar dan tidak mengulangi kata-kata sebegitu.

Saya sentuh bahunya seraya berkata,
“Makcik, sabar ya. Tak elok mak cik maki dan doakan yang bukan-bukan untuk anak makcik. Kerana makcik mungkin lebih tahu, setiap perkataan seorang ibu kepada anaknya itu adalah doa untuk anak itu juga. Jadi harus berhati-hati.”

Sungguh, saya sangat faham tentang betapa pilunya hati seorang ibu jika anak yang dikandung dan dibesarkan penuh kasih sayang tiba-tiba melemparkan batu tajam kepada ibu. Saya sahaja yang baru punya seorang anak kecil, kadangkala hilang rasa sabar tika anak kecil saya itu cerewet atau berkelakuan nakal.


"Makcik ajak dia belajar solat, dari kecil makcik ajar. Tapi dia tak mahu ikut juga. Makcik selalu juga ajak dia pergi mengaji, belajar Quran. Dia degil tak mahu menurut. Ayahnya sering sakit. Maklumlah usia dah 60 lebih. Mana larat nak fikir anak dara itu lagi."
Kesedihan menghurung wajahnya...


"Kalau dia kata nak duit, kami bukan tak nak berikan. Cuma, jumlah yang dia nak selalunya banyak. Kewangan keluarga tak mengizinkan kalau dia nak bazir. Kami orang susah dik. Pendapatan harian hanya berharap pada jualan makanan di gerai tepi jalan itu sahaja. Sedih sangat bila tahu dia melacur kerana nak dapatkan duit. Padahal kami beri dia tolong jual pisang goring untuk dpaat duit poket lebih sikit. Tapi, dia curi pula duit hasil jualan makanan. Memang anak itu tak kenang budi ibu bapa.," luah si ibu lagi. Melepaskan geram di dada sambil matanya terus berair.

Dalam hati saya bertanya,

"Apa sebenarnya yang ada dalam fikiran si anak apabila melakukan kerja-kerja terkutuk itu? Tidakkah dia membayangkan wajah pilu ibu dan ayahnya yang berkorban untuknya setiap masa? Bahkan yang lebih mengharukan, bagaimana adiknya berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Sedang dia bukan sahaja tidak berminat belajar, tetapi hampir setiap masa menconteng arang ke muka ibu ayahnya"

Sesungguhnya amat benar, barangsiapa yang diberi petunjuk, maka tiada siapa yang mampu menyesatkannya, dan barangsiapa yang diberi kesesatan, maka tidak ada sesiapa yang mampu memberinya hidayah.


Beberapa cadangan diberikan kepada mereka bertujuan membantu remaja itu.
Buatlah apa pun dik, mak cik terima asal untuk kebaikannya sebelum mak cik menutup mata. Mak cik nak lihat dia jadi orang baik, bukan seperti sekarang ini”, kata-kata penuh harapan seorang ibu yang mendamba kebahagiaan untuk anaknya.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, otak saya ligat berfikir. Hati saya pantas merasakan pelbagai rasa. Terbayang wajah ibu tadi, saat anaknya memeluknya erat. Menyusun jari memohon maaf, walau tingkah itu dipaksa oleh ustazah yang menemani saya . Sayup sayup penuh harapan suara si ibu meminta anaknya agar berubah. Dan dalam pelukan antara kedua-dua insan di hadapan saya itu, dengan tangis esak penuh syahdu, saya beristighfar dan memohon kepada-Nya:

“Ya Allah, jadikanlah apa yang sedang kusaksikan ini sebagai suatu pengajaran buat diriku dalam mendidik anak-anakku nanti. Berilah kekuatan kepada ibu ini dan tunjukkanlah pintu hidayah buat gadis ini. Kasihanilah kami yang amat lemah. Sesungguhnya hidayah itu milik-Mu Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah. Amiin.”


Ya, hidup ini berjalan seperti sebuah jahitan. Adakalanya ujian datang terasa seperti jarum menusuk ke jari. Sakit. Kadangkala kita menyangka kita sudah melakukan yang terbaik, namun masih ada kecacatan. Namun, itulah yang akan mengingatkan supaya kita tidak lagi tersasar dan harus sentiasa berhati-hati.

*Kisah ini merupakan kisah benar sewaktu saya masih bertugas sebagai pembantu kaunselor di RAUDHAH-sebuah pusat pemulihan akhlak remaja wanita-.

Dapatkan telekung yang selesa dipakai, cantik dan murah dengan menghubungi talian ini 0194001674 atau lawati blog ini 

http://arnisasoga.blogspot.com/

Thursday, 18 December 2014

Tutorial Menjahit Napkin Dewasa

Salam Jumaat penuh barokah. Sudah tiga hari dua malam saya tidur lewat daripada biasa. Ada tempahan segera yang perlu disiapkan. 100 helai napkin untuk sebuah kedai katering berdekatan rumah saya sekarang. Untuk permulaan mereka mahu separuh sahaja dahulu dengan dua jenis warna napkin. 

Saya mengambil peluang ini dengan menawarkan sulaman pada napkin tersebut. Sama ada sulaman logo atau sulaman nama kedai sahaja. Akhirnya mereka memilih nama kedai sahaja. Hari ini, saya sedikit lapang, di samping menyiapkan sulaman pada napkin saya mengisi blog saya. Hem... timbul idea ini. Tutorial membuat napkin. Sambil-sambil menyiapkan beberapa helai lagi, saya sajikan para pembaca dengan tutorial ringkas ini. Selamat mencuba.


 Sediakan pola sepeti di atas. Boleh juga buat bentuk segiempat mengikut saiz dikehendaki. Untuk tempahan ini pelanggan mahukan saiz Panjang X Lebar = 16" X 16" inci. 

 Pada bucu potong sperti dalam gambar iaitu jarak 3inci dari hujung. Pelangan saya ini mahukan sulam tulisan berada di bahagian bucu, iaitu 3 inici jarak dari hujung.



 Dapatkan titik tengah bahagian bucu tersebut.

 Titik tengah untuk sulaman nanti.


 Tanda pada permukaan kain menggunakan cara yang sama. Saya menggunakan kain lebar 60". Tanda sahaja. Jangan potong kerana jika anda potong nant akan menyukarkan proses sulaman.


 Saya menggunakan mesin Brother NV950e. Letak pada hoop sulaman. Pastikan ketat. Jangan lupa lapik dengan kain CS (Cotton Stabilizer) di bahagian bawah.

 Pilih design yang sudah siap diset ke dalam mesin atau pendrive


 Design Katering Kak Rusnah (nama kedai yang diberi oleh pelanggan).


 Tekan simbol di atas.

 Tekan ini.

 Turunkan presser foot. 

 Setelah presser foot diturukan, lampu bertukar hijau.

 Tekan butang hijau untuk memulakan sulaman.

 Beginilah mesin sulam saya melakukan kerjanya.

 Hasilnya, Katering Kak Rusnah.

 Hasil atas kain yang telah disulam. Semua ini menanti untuk dipotong mengikut siaz dan jahit tepi halus sebagai kelim.

Sehingga jam 3.20 pagi dia setia menemani saya. 


Baiklah, cukup sekadar ini dahulu perkongsian saya untuk hari ini. Si Kecil sudah merengek minta disediakan makan tengah hari. Selepas makan nanti saya hendak siapkan jahitan tudung sekolah yang lain pula, sambil-sambil melihat dia bermain. Petang pula kena bawa dia keluar rumah. Work at Home Mom, sangat unik, sangat menarik. 

Bagi yang ingin menempah telekung dewasa dan kanak-kanak, boleh hubungi saya di talian 0194001674/0134529807 atau lawati blog saya di sini

http://arnisasoga.blogspot.com/

Sunday, 14 December 2014

Mesin Pemotong Kain Elektrik OCTA

Sepi malam mula menyapa. Si Kecil kesayangan sudah dibuai mimpi. Itu pun kerana dipaksa tidur. Diiring tangis dan omelannya meminta coklat, dia tidur tanpa alas. Merajuk kerana mahu coklat tetapi saya tidak membenarkannya. Satu jam mendengar tangisannya barulah dia tidur dengan tenang. Sabarlah ya anak, esok jika panjang umur Mama berikan coklat tersebut.

"Sudah malam, tidak elok makan coklat", saya cuba memujuknya walaupun nampak tidak berkesan.


Tenang melihat wajahnya sewaktu tidur.

Selesai menanti dia benar-benar melelapkan mata, barulah saya bangkit semula menyambung kerja rutin. Malam ini hendak menyambung jahitan tudung sekolah berwarna hitam. Siang tadi Alhamdulillah, berjaya menyiapkan jahitan dan kemasan awningnya. Malam ini ingin mula menyambungkan ke badan tudung. Cabaran menyiapkan tudung ini ialah fabriknya yang berwarna hitam. Mesin saya tidak mempunyai lampu. Model lama. Terkebil-kebil mata saya cuba mengamati setiap mata jahitan ke atas kain. 

Baru menyiapkan beberapa helai, saya berehat sebentar. Berbaring, meluruskan pinggang. Sudah beberapa hari sakit belakang saya kembali setelah lama tidak merasainya. Begitulah, antara cabaran yang dihadapi bagi seorang tukang jahit. Sakit belakang, bahu, kaki, dan adakalanya hati turut sakit apabila melalui kesilapan jahitan. Terpaksa ditetas kain tersebut kemudian jahit semula. Kadangkala, kesilapan berulang kembali. Belum lagi masuk kepada cabaran pelanggan yang cerewet. Minta jahit begini, sudah siap, ini tak kena, itu tak kena...Allah... Hanya Allah yang Maha Tahu stresnya hati saya jika bertemu pelanggan begini. 

Fabrik hendaklah disusun sama rata.

Tudung hitam ini adalah tempahan daripada guru sekolah rendah Rohingya Sungai Petani. Saya benar-benar tidak menyangka akan menerima tempahan daripada mereka. Pada mulanya tempahan hanya 30 helai, mengingkat menjadi 50 helai. Alhamdulillah. Rezeki datang dari arah yang tidak disangka-sangka. Walau dalam keresahan hati saya yang sedang menghadapi sedikit ujian kewangan, Allah hadirkan sesuatu yang sangat saya perlukan. Kewangan saya agak sesak sedikit. Syukur, tempahan yang ada membuka sedikit hati saya bahawa, Allah memberi menurut keperluan hamba-Nya.

Kali ini, saya lebih yakin dapat menyiapkan tudung ini lebih cepat memandangkan ada pemotong kain elektrik. Rotary cutter jenama OCTA yang dipinjamkan oleh sahabat alam maya saya, Umi amat membantu. Segala-galanya atas bantuan-Mu Ya Allah. Sungguh mudah menggunakan pemotong ini. Fabrik saya susun setebal 4 inci mampu diselesaikan  hanya dengan sekali jalan. Sekali lagi cabaran tukang jahit iaitu menggunting kain dapat diselesaikan. Jika biasanya saya hanya menggunakan gunting biasa, sekali potong hanya 4 lapis sahaja paling banyak. Terlalu banyak masa dihabiskan. Kadangkala seharian saya peruntukkan untuk menggunting 15 helai sahaja. Sakit tangan usah kira. Hehe...

Lukis permukaan kain mengikut saiz yang dikehendaki.
 Kali ini saiz S dan M menjadi pilihan

Hasil menggunakan pemotong OCTA. 
Sangat menjimatkan masa dan tenaga.

Belum dikira 'iklan-iklan' tambahan daripada anakanda. Ketika baru hendak memulakan tugasan, dia akan datang meminta susu, makanan, mengajak main dan sebagainya. Jika tidak dilayan, gemuruh satu rumah suaranya bergema. Jika begitu, biasanya saya akan menunaikan dahulu hajatnya. Pasti dia akan diam. Walapun seketika kemudian dia akan datang lagi meminta itu ini menurut kehendaknya. Begitulah anak-anak. Pantang tidak diberi perhatian, ada sahaja 'onar' dilakukannya. Bagi seorang ibu yang bekerja di rumah, harus bijak mengendalikan situasi begini. Pada awalnya saya sangat stres. Alhamdulillah, perlahan-lahan keadaan ini sebati dengan diri apatah lagi apabila berdepan dengan kehidupan hanya kami berdua sahaja di rumah.

Oh, nampaknya sudah jauh saya berceloteh. Sebenanya untuk entri kali ini saya ingin berkongsi pengalaman menggunakan pemotong elektrik jenama OCTA yang sangat menakjubkan. Hehe... Biar video yang berbicara. Selamat menonton.

Gunakan mesin ini dengan yakin. Mulakan dengan Bismillah. 
Tangan mesti pantas menggerakkan mesin 
supaya tidak ada perca kain yang bergumpal di bahagian pisau.

http//: arnisasoga.blogspot.com




Wednesday, 10 December 2014

Kisah 50 Helai Tudung: Hanya Cerita Biasa Saja

Bismillah...

           Lama tak menyapa blog ini. Tugasan  yang ada masih banyak untuk disiapkan. Kelas blog memang mencabar untuk saya yang masih sangat baru untuk menjinakkan diri dalam dunia penulisan blog. Mujur saja saya ditakdirkan untuk belajar dengan seorang guru yang baik dan sabar. Seandainya saya yang menjadi guru penulisan blog dan punyai murid seperti saya ini, pasti ramai yang sudah kena cubit. Hehe...

          Untuk entri kali ini, saya ingin bekongsi cerita kehidupan saya yang biasa-biasa saja. Tidak ada yang terlalu menarik. Namun, saya yakin dan percaya, sesuatu yang biasa-biasa itu andai saja ia baik dan bermanfaat ia pasti membawa kesan yang luar biasa. 

        Dua hari lepas saya berjaya menyiapkan 50 helai tudung sekolah untuk pelajar prasekolah. Saya menggunakan fabrik jersy micro fiber. Mungkin bagi yang sudah lama dalam bidang jahitan, jumlah itu tidaklah banyak dan masih biasa-biasa sahaja. Namun, untuk saya yang masih setahun jagung dalam bidang ini, nilai itu cukup besar maknanya. Untuk pertama kalinya, saya menerima tempahan secara pukal. Buat julung kalinya Allah izinkan saya menyiapkan jumlah itu dalam masa yang singkat. 3 hari. Bertarung dengan perasaan malas, letih dan tidak sihat. Selesai juga akhirnya. Alhamdulillah, segalanya dengan izin-Mu ya Allah. Tiada daya melainkan Engkau. 

Tudung yang telah siap dan diasingkan mengikut saiz.
Tudung yang berlonggok tu perlau dibasuh kerana ada kesan minyak mesin.



          Tudung sekolah ini kategori awning lembut yang mudah dibasuh dengan mesin. Nampanya, reka bentuk tudung ini sudah semakin disukai, apatah lagi para ibu. Pastinya kerana cara penjagaannya mudah berbanding tudung awning keras. Silap masuk ke dalam mesin basuh, habis awning rosak. 

Model tetap saya sedang menggayakan tudung saiz S


          Sebenarnya, dalam 50 helai tudung ini, saya menggunakan fabrik yang agak berbeza dari segi warna fabrik. Putih nila dan putih tulen. 28 helai permulaan saya menggunakan stok fabrik putih nila yang ada dalam simpanan Seharum Melur. Saya menganggarkan ia mencukupi untuk menampung jumlah 50 helai. Namun, setelah dikira ia jauh tak mencukupi. Ahh...sedikit stres. Silap saya kerana tidak membajet dengan betul. 
 
          Esoknya, saya membuat pesanan atas talian untuk stok kain tersebut. Saya sangat lega apabila tuan kedai masih sudi membuat penghantaran melalui khidmat KTM Berhad. Saya menanti hari esok. Hingga malam pesanan saya belum tiba. Saya menjangkakan esok pula akan sampai. Biasanya khidmat penghantara barang menggunakan KTM Berhad bagi barang seperti fabrik secara kayu, hanya mengambil masa 1-2 hari. Namun, hari ketiga pesanan masih belum sampai. Petangnya, si tuan kedai menelefon saya. Katanya, KTM di kawasannya ada sedikit masalah dan tidak dapat membuat penghantaran. Beliau berjanji akan menghantarnya sendiri menggunakan lori syarikatnya. Dua hari saya menanti namun lori yang ditunggu tak kunjung tiba jua. 

           Akhirnya, tuan kedai tersebut menghubngi saya dan meminta maaf kerana tak dapat membuat penghantaran. Beliau meminta saya datang sendiri ke kedainya dan berjanji akan memulangkan wang kos penghantaran. Wah...saya sedikit bingung kerana memikirkan mahu meminta bantuan siapa pula untuk ke kedai tersebut. Maklum sahaja saya tidak pandai memandu. Hehe (ini harus diperbaiki). Akhirnya saya bercadang untuk menaiki bas sahaja ke tempat tersebut. Saya menghubungi sahabat saya moga-moga beliau dapat menemani saya. Namun, Alhamdulillah...beliau sudi menyewa kereta dan menghantar saya. Syukur. Bayar lebih sedikit pun tak kisah kerana dalam kepala saya sudah berlegar, "alang-alang ke sana naik kereta bolehlah beli stok kain untuk projek lain pula."

          Hari berikutnya, seawal pagi saya bertolak. Sempat singgah makan bersama sahabat yang dimaksudkan. Banyak cerita yang kami kongsi memandangkan sudah lama tidak bertemu. Begitulah tingginya nilai persahabatan. Sahabat yang baik selalu hadir saat kita memerlukan. Tanpa ada rasa susah meski dalam hati saya tetap rasa sudah menyusahkannya. Semasa membeli kain di kedai pembekal, saya berkenalan pula dengan seorang pekerja yang sangat baik hati. Dia setia melayani saya dari mula hingga saya keluar kedai. Kebiasaannya, saya ditemani seorang pekerja perempuan Melayu yang sudah sangat mengenali saya. Namun, nampaknya kali ini dia nampak tidak sihat. Saya seronok berkenalan dengan pekerja baru itu. Dalam dunia bisnes, jalinan hubungan dengan manusia itu sangat perlu. Berkenalan, berkawan adalah konsep yang sangat penting, kerana kawan dan kenalan juga adalah sumber pasaran kita. Dari bisnes juga kita beroleh ramai kenalan. Sumber kekuatan kita untuk terus ke hadapan. 

          Dipendekkan cerita, sewaktu sahabat saya menghantar saya pulang ke rumah, kereta rosak pula di tengah jalan. Pada waktu itu, tiada lain dalam fikiran saya, Allah sabarkanlah hatiku. Terasa begitu menguji menyiapkan tudung sekolah ini. Air mata saya mula hendak menitik. Mujur anak saya tidak banyak karenah dan seolah-olah dia teruja melihat kereta sewa kami berasap akibat kehabisan air. Sifat kanak-kanak yang suka mahu tahu itu saya biarkan saja. Biarlah dia belajar sesuatu asal tidak membahayakn dirinya. Dari jauh dia memandang orang-orang yang behenti untuk membantu kami. Dalam beberapa minit, kami didatangi seorang lelaki. Dia memperkenalkan dirinya sebagai mekanik kereta. Pantas dia memeriksa kereta itu. Kami bertanya sesama sendiri siapa yang memanggil beliau. Rupa-rupanya dia memberitahu bahawa dia kebetulan lalu di situ. Allah...pasti ini bukan kebetulan, namun ketentuan-Mu. Terima kasih. Tiada ungkapan lain. Dia mengajar dan menunjukkan beberapa tanda kereta berada dalam suhu panas, dan beberapa kerosakan lain. Maka, bertambah terasa kasih sayang-Mu ya Allah. Pelajaran yang diperolehi pada hari itu terlalu besar ertinya. Saya dan sahabat saya masih sangat baru untuk mengetahui selok belok kereta. Dia baru memiliki lesen sedangkan saya sudah lama punya lesen tetapi masih takut memandu (sekali lagi saya katakan ini harus diperbaiki).


          Setelah segalanya selesai kami pulang ke rumah dan teringat kepada lelaki yang membantu tadi. Sudahlah kerjanya pantas, bayaran pula murah, ketika poket kami tidak punya banyak duit. Hanya cukup-cukup sahaja. Allah, Engkau sebenarnya Maha Mengetahui keperluan hamba-Mu. Kau selalu hadir ketika kami memerlukan-Mu. Maka nikmat mana lagi yang harus didustakan?

"Barang siapa yang bertaqwa kepada ALLAH s.w.t nescaya DIA akan mengadakan baginya jalan keluar,
dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka,
dan barang siapa yang bertawakkal kepada ALLAH s.w.t nescaya ALLAH s.w.t akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya ALLAH melaksanakan urusan (yang dikehendakin)nya. Sesungguhnya ALLAH telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."
(Surah AT-TALAQ : Ayat 2-3)



http:// arnisasoga.blogspot.com