Ketenangan Adalah Kebahagiaan : Ubatlah Hatimu

Bismillah..
Assalamualaikum.

Semoga semuanya sihat dan ceria.

Suatu malam, saya menerima mesej melalui sistem pesanan ringkas daripada seseorang yang saya sangat akrab. Lama benar tak mendengar berita dirinya. Sejak kedua-duanya berkahwin dan punyai anak masing-masing, kesibukan mengurus hal keluarga dan kerja rumah sedikit mengekang untuk kami sering berhubung kecuali hal penting.

Ya, malam ini kehadiran mesej beliau pastinya ada sesuatu yang sangat penting. Tengah malam begini beliau menghubungi saya, saya anggap bukan suka-suka seperti kami masih perawan dahulu.

"Kak, maaf ganggu akak malam-malam begini. Sebenarnya saya tak tahu nak cerita dengan siapa, namun saya dah tak mampu menderita lagi."

Saya segera membalas,

"Salam. Ya dik, ceritalah. Insya'allah akak akan bantu."

Beberapa ketika handphone saya berbunyi lagi menandakan SMS masuk.

"Saya tak tenang kak. Saya tak tahu kenapa saya rasa begini. Saya buntu."

"Kenapa? Bergaduh dengan suami ke?" 

Saya bertanya.

" Tidak kak. Kami sekeluarga alhamdulillah. Ok.cuma akhir-akhir ini hati saya sering tak tenang. Segala yang saya lakukan semuanya serba tak kena hingga anak-anak saya menjadi mangsa kemarahan saya akibat kerunsingan saya. Akak tau jelah budak-budak bukan faham mak bapa tengah tak sihat ke, ada masalah ke. Sepah mainan sana sini."

Saya berfikir sejenak. Cuba menyelidiki lagi punca ketidaktenangan hati sahabat saya itu. Soalan demi soalan saya tanya dan dia menjawab berulang kali "Saya tak tahu, hati saya memang rasa tak tenang."

Lalu saya menulis sepucuk surat kepadanya melalui e-mel. Saya menghantarnya usai melakukan solat Subuh keesokan harinya. Mudah-mudahan sama-sama kami mendapat manfaatnya. Surat tersebut berbunyi begini :

Assalamualaikum sahabatku. 
Meski saya belum tahu punca hatimu tak tenang, saya cuba membantumu dengan ingatan serba ringkas ini. Bacalah dengan nama Tuhan-Mu, Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Dia yang menjadikan hati kita sesuci dan sesejuk embun pagi. 

Namun, kita hanya insan yang seringkali alpa.
Seringkali hanyut dibawa arus nafsu dan dosa sendiri. 

Wahai sahabatku yang kurindui,

Tika hati sedang bersedih, 
Saat jiwamu bersarang kerisauan, 
Waktu egomu tak mahu tunduk dek kemarahan, 
sedang cemburu dengki, 
Semasa dirimu tiada motivasi meneruskan hidup, 
dan 
segalanya tentang hati yang tidak tenang, ubatlah dengan lima perkara. Pilihlah salah satunya andai diri tak mampu melakukan semuanya. Lakukanlah secara perlahan-lahan namun istiqomah.

1.  Bacalah Al-Quran dan fahamilah maknanya. Sungguh, Al-Quran adalah mukjizat yang agung.

2. Solat malam (qiyamullail). Waktu malam adalah waktu paling tenang, dan paling hening. Waktu inilah juga yang paling sukar untuk bangun kecuali bagi orang yang bersungguh-sungguh.

3. Bergaullah dengan orang-orang soleh. Orang soleh mampu menegur,dan memperbaiki kesilapan kita samada dengan kata-kata ataupun akhlak mereka. 

4. Berpuasalah. Puasa dapat mengekang kita daripada sifat-sifat mazmumah dan mampu menundukkan hawa nafsu.

5. Zikir malam yang berpanjangan. 

Berkata seorang ulama, Ibrahim Al- Khawas R.A: "Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut. Yang pertama, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandungannya, yang kedua berpuasa, yang ketiga bangun (beribadat) pada waktu malam, keempat menghampirkan diri kepada Allah (beribadat)  pada sepertiga malam, dan kelima sentiasa bersama- sama di majlis orang- orang soleh.


Sahabatku,

Semoga kita sentiasa berusaha mencari ketenangan kerana ketenangan adalah kebahagiaan.

Sampai jumpa lagi. Doaku dari jauh.
Wassalam.

Setelah berlalu saat itu, lama kami tidak menghubungi satu sama lain. Berbulan-bulan jugalah. Namun, beberapa lama kemudian, dia menghantar SMS lagi kepada saya. 

"Salam. Kak,terima kasih atas ingatan akak tempoh hari. Alhamdulillah kak, saya dah ok. Saya tak lagi suka berfikir bukan-bukan, risau tak tentu hala, dan kini saya lebih tenang. Rupanya kak, hati yang tak tenang mungkin kerana saya mengabaikan hubungan saya dengan Allah selama ini. Lantas Dia menguji sedikit diri hamba-Nya ini agar kembali mengingati-Nya. Hidup saya kini juga lebih bahagia."

Alhamdulillah. Segala yang baik hanyalah daripada Allah.
Benarkan, ketenangan adalah kebahagiaan. Kebahagiaan hakiki adalah ketika kita kembali bertemu dengan Sang Pencipta kita bersama hati yang suci bersih tanpa sebarang noda dan dosa.

Comments

Popular posts from this blog

Resepi Bergedil Jagung Kak Nisa':)

TUTORIAL : Jubah Menyusu Dengan Lapik Dada

Tutorial: Membuat Jahitan Tepi Halus Menggunakan Mesin Brother Model 3034D