Masa Yang Mengubah Rasa


(Meraikan diri yang sedang menginjak lantai ke-5 tahun sebagai ibu tunggal:))



Kutiplah hikmah dalam setiap ujian
Kerana ujianlah kita kuat dan matang

Bismillahi wal hamdulillah

Lamanya tak menyapa blog saya ni. Hehe... penuh sawang nampaknya. Entah semangat apa yang datang hari ini, dikuatkan jiwa untuk buka semula blog yang telah saya tinggalkan hampir 5 tahun yang lalu. Eh, 5 tahun? Masya Allah lamanya ! Tanpa sedar, masa berlalu sangat cepat. Tanpa sedar juga, rupanya saya sudah menginjak ke lantai 5 tahun kehidupan sebagai ibu tunggal. Alhamdulillah , segalanya atas kehendak-Mu jua Ya Allah.

Mujurlah masih diingat lagi kata kunci blog ini. Maka, dengan jayanya saya buka. Tiba-tiba perasaan ingin menulis dan mengisi semula ruangan di sini datang membuak-buak. Setelah sekian lamanya semangat menulis saya pergi. Ya Allah, izinkanlah hamba-Mu ini bangkit semula untuk mencatat dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat. Mudah-mudahan akan menjadi asbab untuk diri ini meraih redha-Mu.

Semalam, saya buka laman FB. Gambar 4 tahun lepas lalu di 'wall', bersama sedikit catatan ringkas yang pernah saya 'post' . Gambar tersebut adalah gambar anak saya Syuhada' sewaktu kami di lapangan terbang KLIA menuju ke Tawau. Teringat saya waktu itu, rasa sedih yang mendalam di dasar hati. Hanya Allah yang tahu, betapa ketika itu semangat hidup saya bagai direntap dari dalam diri ini. Kosong, kelam, dan suramnya suasana walau ke mana dan siapa pun di sisi saya. Andai diberi pilihan, saya tidak mahu berada dalam situasi sedih begitu. Namun, Allah adalah sebaik-baik pengatur kehidupan. Dialah yang Maha Mengetahui segala sesuatu. Isteri mana yang tidak sedih jika diceraikan tanpa kerelaannya? Cuma, kesedihan itu pasti akan berlalu dan terus meninggalkan orang yang merasainya. Saya juga telah melalui saat-saat itu. Alhamdulillah, 'alaa kullihal. Setiap yang terjadi akan ada hikmah tersingkap. Kesedihan dan kepahitan  yang telah mengajar saya untuk bertawakkal sepenuhnya kepada Allah. 

Ketika menatap gambar tersebut, dan membaca semula catatan saya pada 'posting' tersebut, tersenyum saya dibuatnya. Gambar yang terkandung seribu satu perasaan yang tidak terungkap dengan kata-kata. 'One picture is worth thousand words'.  Pandai betul FB memilih 'posting' untuk saya ingati. Saat gambar itu diambil, saya sedang berduka. Kini, kepahitan itu telah menjadi memori yang manis untuk dikenang dan memberi kekuatan sesungguhnya., selepas 4 tahun. Benarlah, masa mampu mengubah rasa.

Kepada semua wanita yang sedang berduka, khususnya yang sedang melalui ujian perceraian, hadapilah ujian tersebut dengan tabah. Perceraian bukan pengakhiran sebuah kehidupan, bahkan sebagai permulaan sebuah kejayaan. Memang, ia tidak mudah tetapi yakinlah kalian mampu mengharunginya. Jalan sahaja. Di hadapan pasti ada cahaya. Hendak bersedih sepanjang masa pun, tidak berguna. Masa tidak akan boleh diputar kembali. Bak kata pujangga, hujan tak mungkin pulang ke langit setelah turun ke bumi. Bangkitlah, kerana kita ada Allah.

Sesungguhnya, semalam adalah masa yang berlalu sebagai pelajaran untuk kehidupan hari ini. 
Hari ini, adalah persiapan untuk ujian hidup kita pada hari esok.
Andainya hari ini kita diuji lagi, pilihlah untuk teguh berdiri di atas jalan sabar dan syukur. 
Teguhnya kita berdiri hari ini kerana jalan sabar dan  syukurnya kita saat ujian membadai deras ke pantai masa semalam.

Semalam, hari ini dan esok,
sudah pasti ada warna warninya. Begitulah indahnya sebuah kehidupan yang dicipta Allah.
Ada sedih, ada gembira. Ada duka, ada tawa.
Mana mungkin Allah mencipta manusia dan kehidupan tanpa ujian, sedangkan nilai syurga itu memerlukan mahar yang tidak ternilai. Mahar yang berupa pengorbanan dan ketaatan kepada-Nya yang tidak berbelah bahagi.  Pesanlah kepada hati kita yang selalu berbolak balik ini, ujian dan musibah tiba tanpa diundang. Tiada yang mampu meneka saat kehadirannya. Lantas, selalulah bersiap-sedia. 

Setiap kali datangnya musibah, di situlah terhamparnya jalan untuk bahagia.  
Ketika ujian datang menyapa, sahutlah dengan kesyukuran dan kesabaran, 
kerana ketika itulah Allah sedang menunjukkan 
kebesaran dan kebijaksanaan-Nya buat yang mahu berfikir.
Sebelum tidur malam ini, hayatilah kalam yang telah dihadiahkan oleh Allah buat kita yang hina ini. Semoga terubat hati kita semua.

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” 
(QS. Al Baqarah: 216).

Terima kasih kerana sudi membaca. Semoga bermanfaat.

Catatan Mama
5th years as a Single Mom
I'm happy I'm Syukur
Alhamdulillah.
08 Februari 2019
Tawau




Comments

Popular posts from this blog

Resepi Bergedil Jagung Kak Nisa':)

TUTORIAL : Jubah Menyusu Dengan Lapik Dada

Tutorial: Membuat Jahitan Tepi Halus Menggunakan Mesin Brother Model 3034D