Sunday, 21 December 2014

Rona Kehidupan Bagai Sebuah Jahitan

Sewaktu saya bertugas di pusat pemulihan akhlak dahulu, saya pernah mengikuti kelas jahitan bersama seorang guru sukarela yang datang mengajar para pelatih di situ. Suatu hari ketika kelas sedang berlangsung, guru itu berkata, 

"Menjahit ni seninya tinggi. Banyak kperkara yang dapat kita pelajari. Menjahit umpama kita menjalani sebuah kehidupan, ada waktu kita gembira menjahit, ada waktu kita stres. Sesekali kita tersilap jahit, walau sudah bertahun-tahun kita menjahit benda yang sama. Semua ini akan membentuk sebuah kesabaran. Jika kita tak sabar dan cepat putus asa, kita takkan mampu menjadi tukang jahit yang berjaya. Begitulah juga dengan kehidupan, adakalanya kita gagal sebelum berjaya, kita tertekan dengan segala kesusahan dan ujian dari Tuhan. Hakikatnya, kesabaran sahaja yang akan membantu kita mengatasi sesebuah ujian itu walau sesukar mana sekalipun. Sama jugalah dalam hal mendidik anak. Sesekali kita diuji dengan karenah anak."

Saya terkedu dan masih terngiang-ngiang kata-kata guru tersebut. Sehingga suatu hari saya didatangi oleh satu kes. Seorang ibu yang tertekan apabila anaknya didapati melacurkan diri.


Disebabkan makcik terlalu kecewa dan buntu, makcik pernah doakan supaya anak itu segera mati. Lebih baik mati daripada menyusahkan orang lain!!”

Sebenarnya saya sangat ingin menyelami hati wanita itu. Seorang wanita separuh umur. Dia sudah terlalu buntu. Suaminya juga punya rasa yang sama sepertinya.

“Adik (gelarannya kepada saya) tahu, suami makcik sudah beberapa kali kata nak pijak dia sampai mati. Setiap kali kami bangun tidur, perkara pertama yang kami fikirkan adalah dia, anak tak tahu diuntung itu.”

Wajah si ibu kelihatan terlalu geram. Seketika, dia menyapu air mata yang mula mengalir di pipinya. Deras sekali.Menandakan kesedihan menyelinap jiwa dan seluruh dirinya.


Gambar hiasan

“Makcik bukan bencikan dia, tapi perbuatannya kepada kami ibu bapa kandungnya sungguh melukakan hati. Dia tak mahu sekolah, lepas tu kejar lelaki sana sini. Kepala batunya bukan kepalang. Tiada satu pun perkataan kami dia nak dengar. Penipunya, jangan kiralah.”

             Pertemuan petang itu diatur khusus untuk memberi kaunseling kepada seoang remaja perempuan yang terlibat dengan kes pelacuran. Anak ibu berwajah sendu tadi. Bersama tiga orang sahabat dan seorang ustazah, kami bawa dua beranak itu ke sebuah surau. Seusai melakukan solat Asar, kaunseling dijalankan. Ustazah memberi kaunseling kepada anak perempuannya, dan saya diminta memberi kaunseling ringan-ringan kepada si ibu.
Sepanjang perbualan, saya dapati si ibu sudah terlalu berputus asa. Mungkin kerana segala usahanya untuk memulihkan anak sulungnya itu menemui jalan buntu.

“Disebabkan makcik terlalu kecewa dan buntu, makcik pernah doakan supaya anak itu mati. Lebih baik mati daripada menyusahkan orang lain!!”

Kata-katanya mengejutkan saya. Memang, sepanjang saya terlibat dengan pengendalian kes remaja sosial, itu ayat yang biasa terluncur dari bibir seorang ibu ataupun ayah. Saya beristighfar dalam hati. Dalam-dalam. Cuba untuk membantu ibu tadi agar sabar dan tidak mengulangi kata-kata sebegitu.

Saya sentuh bahunya seraya berkata,
“Makcik, sabar ya. Tak elok mak cik maki dan doakan yang bukan-bukan untuk anak makcik. Kerana makcik mungkin lebih tahu, setiap perkataan seorang ibu kepada anaknya itu adalah doa untuk anak itu juga. Jadi harus berhati-hati.”

Sungguh, saya sangat faham tentang betapa pilunya hati seorang ibu jika anak yang dikandung dan dibesarkan penuh kasih sayang tiba-tiba melemparkan batu tajam kepada ibu. Saya sahaja yang baru punya seorang anak kecil, kadangkala hilang rasa sabar tika anak kecil saya itu cerewet atau berkelakuan nakal.


"Makcik ajak dia belajar solat, dari kecil makcik ajar. Tapi dia tak mahu ikut juga. Makcik selalu juga ajak dia pergi mengaji, belajar Quran. Dia degil tak mahu menurut. Ayahnya sering sakit. Maklumlah usia dah 60 lebih. Mana larat nak fikir anak dara itu lagi."
Kesedihan menghurung wajahnya...


"Kalau dia kata nak duit, kami bukan tak nak berikan. Cuma, jumlah yang dia nak selalunya banyak. Kewangan keluarga tak mengizinkan kalau dia nak bazir. Kami orang susah dik. Pendapatan harian hanya berharap pada jualan makanan di gerai tepi jalan itu sahaja. Sedih sangat bila tahu dia melacur kerana nak dapatkan duit. Padahal kami beri dia tolong jual pisang goring untuk dpaat duit poket lebih sikit. Tapi, dia curi pula duit hasil jualan makanan. Memang anak itu tak kenang budi ibu bapa.," luah si ibu lagi. Melepaskan geram di dada sambil matanya terus berair.

Dalam hati saya bertanya,

"Apa sebenarnya yang ada dalam fikiran si anak apabila melakukan kerja-kerja terkutuk itu? Tidakkah dia membayangkan wajah pilu ibu dan ayahnya yang berkorban untuknya setiap masa? Bahkan yang lebih mengharukan, bagaimana adiknya berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Sedang dia bukan sahaja tidak berminat belajar, tetapi hampir setiap masa menconteng arang ke muka ibu ayahnya"

Sesungguhnya amat benar, barangsiapa yang diberi petunjuk, maka tiada siapa yang mampu menyesatkannya, dan barangsiapa yang diberi kesesatan, maka tidak ada sesiapa yang mampu memberinya hidayah.


Beberapa cadangan diberikan kepada mereka bertujuan membantu remaja itu.
Buatlah apa pun dik, mak cik terima asal untuk kebaikannya sebelum mak cik menutup mata. Mak cik nak lihat dia jadi orang baik, bukan seperti sekarang ini”, kata-kata penuh harapan seorang ibu yang mendamba kebahagiaan untuk anaknya.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, otak saya ligat berfikir. Hati saya pantas merasakan pelbagai rasa. Terbayang wajah ibu tadi, saat anaknya memeluknya erat. Menyusun jari memohon maaf, walau tingkah itu dipaksa oleh ustazah yang menemani saya . Sayup sayup penuh harapan suara si ibu meminta anaknya agar berubah. Dan dalam pelukan antara kedua-dua insan di hadapan saya itu, dengan tangis esak penuh syahdu, saya beristighfar dan memohon kepada-Nya:

“Ya Allah, jadikanlah apa yang sedang kusaksikan ini sebagai suatu pengajaran buat diriku dalam mendidik anak-anakku nanti. Berilah kekuatan kepada ibu ini dan tunjukkanlah pintu hidayah buat gadis ini. Kasihanilah kami yang amat lemah. Sesungguhnya hidayah itu milik-Mu Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah. Amiin.”


Ya, hidup ini berjalan seperti sebuah jahitan. Adakalanya ujian datang terasa seperti jarum menusuk ke jari. Sakit. Kadangkala kita menyangka kita sudah melakukan yang terbaik, namun masih ada kecacatan. Namun, itulah yang akan mengingatkan supaya kita tidak lagi tersasar dan harus sentiasa berhati-hati.

*Kisah ini merupakan kisah benar sewaktu saya masih bertugas sebagai pembantu kaunselor di RAUDHAH-sebuah pusat pemulihan akhlak remaja wanita-.

Dapatkan telekung yang selesa dipakai, cantik dan murah dengan menghubungi talian ini 0194001674 atau lawati blog ini 

http://arnisasoga.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment