Saturday, 3 January 2015

Projek Telekung Untuk Mangsa Banjir Pantai Timur

Seminggu yang penuh cabaran. Terkeja-kejar memenuhi permintaan pelanggan. Tudung sekolah, telekung kanak-kanak, dan album pouch. Paling mencabar ialah menyiapkan tempahan telekung untuk projek beli dan wakaf untuk mangsa banjir dan surau serta masjid di Pantai Timur ketika ini.

Projek ini pada asalnya bermula apabila saya menjahit beberapa pasang untuk dihantar sebagai sumbangan individu saya. Saya tidak banyak wang untuk disedekahkan. Namun, setiap kali melihat gambar-gambar mangsa banjir, runtun jiwa saya. Lalu saya terfikir untuk menambah lagi pemberian berdasarkan kain-kain telekung yang belum berjahit masih ada dalam simpanan saya. Ketika rakan saya yang mengutip sumbangan datang ke rumah untuk mengambil telekung-telekung tersebut, dia mencadangkan supaya saya sediakan harga untuk pakej beli dan wakaf. Saya tidak setuju kerana pada anggapan saya biarlah saya sedekah saja cukuplah.

Esoknya saya tambah lagi beberapa pasang. Seharian menyiapkannya. Jam 4.30pagi. Sebelum saya melelapkan mata yang sudah berhari-hari tidak mendapat rehat yang cukup, sempat saya membuat satu posting ke laman Facebook saya. Gambar telekung untuk disumbangkan kepada mangsa banjir. Tidak ada tujuan lain, hanya dengan harapan agar kebaikan yang kita lakukan menjadi contoh buat orang lain. Itu sahaja niat saya. Bukan untuk berbangga-bangga apatah lagi dengan sumbangan yang tak sebesar mana. Tidak sampai 5 minit, seseorang memberi komen pada status saya di Facebook tadi. Beliau ingin menempah 10 pasang untuk sumbangan ke Pantai Timur. Saya tidak terus membalasnya kerana terasa sangat letih. Sewaktu kedengaran azan Subuh, telefon saya berbunyi menandakan ada mesej masuk. Saya membaca mesej tersebut segera. Terkejut saya kerana seorang pelanggan saya ingin menempah 15 pasang telekung kanak-kanak. Subhanallah... rezeki datang dari arah yang tidak disangka-sangka. Saya membalas kedua-dua permintaan pelanggan tersebut.







Keesokan harinya saya mendapat tempahan lagi. Untuk mangsa banjir juga. Beliau memberi sejumlah wang dan meminta saya menguruskan telekung yang sesuai jumlah wangnya yang pada hemat saya, banyaknya...Hehe. Setengah jam berlalu seusai berbincang dengan si dermawan tadi, tempahan masuk lagi. 10 pasang, daripada pelanggan semalam, juga untuk mangsa banjir. Allahuakbar. Saya sebenarnya tidak menyangka ini akan terjadi. Saya juga tidak mahu mengenakan sebarang caj keuntungan untuk telekung yang hendak dihantar kepada mangsa banjir tersebut. Tidak sampai hati rasanya.Namun, memikirkan kos elektrik dan sedikit kos logistik yang perlu ditanggung, saya mengambil keputusan untuk meletakkan sedikit harga pada telekung tersebut. Alhamdulillah. Syukur. Tenang hati saya melakukan kerja-kerja ini. Biar tidak hilang keikhlasan kerana keletihan yang tidak mendatangkan keuntungan di dunia namun tidak pula sampai merugikan dan yakin janji Allah tidak ada yang mengecewakan.
Rekaan bahagian muka yang sangat ringkas namun selesa.
Ini model comel:)

Hingga saat saya menulis di laman ini, tempahan demi tempahan masuk. Bukan hanya untuk mangsa banjir, tetapi untuk individu, untuk surau sekolah, untuk para muallaf dan tidak kurang juga untuk hadiah kepada ahli keluarga. Subhanallah. Sekali lagi tasbih ku memuji-Mu.

Sedikit kita berikan dengan keikhlasan, Allah ganjari dengan gandaan yang tidak kita sangka. Allahu akbar!!


Teman-teman setia saya setiap malam. 





Sedia untuk dihantar.

Untuk semua yang telah menyumbang sama ada dari segi material fabrik, renda, dan wang saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Semoga Allah ganjarkan dengan pahala yang sentiasa mengalir hingga membawa ke syurga.


Bagi yang berminat untuk projek BELI DAN WAKAF kepada mangsa banjir boleh hubungi saya di talian 0194001674. 
Kami ada pakej yang menarik.
http://arnisasoga.blogspot.com/

3 comments:

  1. Tahniah dan selamat maju jaya hendak nye

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum...kemas jahitan telekung..leh tunjuk ajar sis,wat telekung

    ReplyDelete