Langkah Saya Baru Bermula

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..

Memulakan langkah memang perit. Bukan mudah. Jatuh bangun pasti ada. Begitulah yang ada dalam benak dan fikiran saya. Saya tidak dapat membayangkan apakah cabaran yang bakal ada di hadapan. Membawa Seharum Melur Enterprise yang masih terlalu baru, sekali lagi saya katakan bukan mudah kerjanya. Namun, itu adalah lumrah dan mahar yang mesti dibayar demi sebuah kejayaan yang diidamkan.
 
Nama saya Arnisa binti Soga, nama yang diberikan oleh orang tua saya. Dilahirkan pada 30 Mei 1983, di Hospital Besar Tawau, Sabah, bumi di bawah bayu. Saya dibesarkan dalam keluarga sederhana dan mempunyai 12 orang adik beradik. Saya yang keenam. Perpisahan ibu dan ayah sewaktu usia saya masih setahun lebih membuatkan bilangan kami adik beradik menjadi ramai kerana ibu dan ayah masing-masing berkahwin baru.
Sewaktu usia saya 7 tahun, saya dihantar ke Sekolah Kebangsaan Tanjung Batu Tawau, Sabah. Di situlah saya mula mendapat pendidikan akademik formal terawal. Tiada sekolah tadika kerana pada waktu itu, sekolah tadika masih belum wajib lagi di Sabah. Cuma pilihan dan hanya bagi yang berkemampuan. Ibu, yang bertungkus lumus bekerja sebagai tukang jahit sudah pastinya tidak mampu menghantar saya ke tadika kerana adik-beradik yang lain masih belajar lagi. 
 
Selepas UPSR, saya mendapat tawaran di sebuah sekolah menengah perempuan. SM Convent Ursula. Namun, saya tidak meneruskan pelajaran di situ kerana menurut kehendak kakak saya supaya tinggal dan sekolah di tempatnya mengajar. Pada tahun 1995 saya berhijrah ke daerah Kunak. Sejam dari tempat asal saya. Di situlah saya menghabiskan masa remaja saya selama hampir enam tahun. Dunia remaja saya yang penuh warna warni.  Saya terpilih sebagai salah seorang pelajar cemerlang PMR 1998.
 
Saya meneruskan pelajaran ke Tingkatan 4 dalam aliran Sains Tulen. Satu lagi dunia baru yang saya ‘terpaksa’ hadapi. Ada rasa bangga dalam hati kerana terpilih masuk ke kelas tersebut. Kelas pandai. Begitulah anggapan kebanyakan guru dan pelajar. Namun, saya sebenarnya ragu-ragu untuk berada dalam kelas itu memandangkan saya tidak berminat dengan nombor dan istilah-istilah sains. Saya berangan untuk menjadi sasterawan, mengaji dalam bidang bahasa atau hantar saja saya ke sekolah vokasional. Sekolah kemahiran. Bagi saya itu lebih menggembirakan. Namun, Allah lebih tahu yang terbaik buat hamba-Nya. Tamat SPM, saya dapat tawaran ke Tingkatan Enam Sains.  Cukup melemahkan semangat saya. Akhirnya, saya berpindah ke sekolah baru. Sekolah yang sudi menerima saya dalam kelas sastera ekonomi. Alhamdulillah. Bermula pula episod baru dalam hidup saya. Belajar selama dua tahun di SMK Abdullah Semporna Sabah, bukan hanya belajar akademik  tetapi lebih besar maknanya apabila saya dapat belajar budaya orang Semporna. Rakan-rakan kelas saya yang terdiri daripada pelbagai suku kaum mempunyai segala macam keunikan. Bajau dan  Suluk antara majoriti penduduk di sana. 
 
Saya gagal mendapat keputusan cemerlang dalam STPM kali itu. Berbekalkan semangat yang ada saya mendaftar ke Tingkatan 6 Rendah semula di Intitut Akademik Bakti Tawau. Sebuah sekolah swasta terbaik di daerah Tawau. Sekolah yang banyak membantu insan-insan yang ingin meneruskan pelajaran setelah gagal kali pertama dan membantu mereka yang tidak diterima ke sekolah kerajaan akibat masalah dokumen/kad pengenalan. 
 
Berkat bantuan dan doa guru-guru, keluarga dan sahabat-sahabat saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaysia Sabah dalam bidang Psikologi Kanak-kanak dan Keluarga. Hehe…alamak…nampaknya kena belajar Sains lagilah.. Ya, ‘Psychology is a Science’ kan. Dunia kampus memang jauh berbeza dengan alam bangku sekolah. Tiga tahun menuntut di situ, saya terus diberi peluang untuk mempelajari perkara baru. Pengalaman yang cukup berharga, pastinya sebagai persiapan untuk menghadapi dunia akan datang. 
 
Setelah tamat mengaji di UMS, saya bekerja sebagai kerani. Suatu hari, sahabat saya yang masih menuntut di UUM menghantar mesej iklan tentang sebuah jawatan kosong. Warden pusat pemulihan akhlak. Seperti kena dengan hati saya. Seminggu saya berfikir barulah saya menghubungi nombor telefon pengurus jawatan tersebut. Saya diterima dan sebelum bertolak ke tempat tersebut, ayah tiri saya meninggal dunia akibat kencing manis. Sedihnya hati ini kerana tidak sempat saya memberikan gaji pertama saya. Semoga beliau ditempatkan bersama orang-orang beriman. Saya memulakan perjuangan baru di Rumah Upaya Daya dan Harapan Ar-Rahman (RAUDHAH) Pulau Pinang, tempat yang asing bagi saya.
 
Dua tahun berkhidmat di pusat pemulihan tersebut memberi pengalaman yang cukup mengajar diri ini. Banyak cerita yang ingin saya kongsikan nanti, insya’Allah. Selepas berkahwin, mengandung maka saya berhenti bekerja di situ.
Hasil perkahwinan selama hampir lima tahun, saya dikurniakan seorang puteri comel dan pintar. Nur Jannatus Syuhada’ binti Mohd. Nizam namanya. Terima kasih Ya Allah.

HADIAH HARI LAHIR YANG PENUH MAKNA
 
Suatu hari, suami menghadiahkan saya sebuah mesin jahit. Beliau kasihan dengan saya yang terpaksa meminjam mesin jahit orang lain kerana minat menjahit saya memang tidak boleh dibendung. Sedari dalam perut ibu lagi saya sudah biasa dengan mesin jahit. Masih lagi saya ingat, pengalaman pertama menggunakan mesin jahit ketika usia saya 11 tahun. Pertama kali menjahit baju kurung untuk anak jiran. Sebelum itu, menjahit baju untuk anak patung saya. Ibu mengajar menggunakan jahitan tangan sahaja.
Sehingga saya membesar, hanya satu kali saya mengupah orang lain menjahit pakaian saya. Itu sewaktu di kampus dahulu kerana saya tidak punya mesin jahit, dan baju itu mahu segera dipakai. Selebihnya hingga usia kini saya menjahit baju sendiri.

KISAH TELEKUNG IDAMAN
 
Sejak sekolah lagi saya suka melihat telekung yang cantik-cantik dan selesa. Saya punya fikiran lain sedikit daripada orang lain. Jika orang lain memakai telekung hanya berwarna putih, saya membuat telekung sendiri berwarna hijau. Jahit sendiri. Saya bangga memakai hasil tangan sendiri walaupun tidak cantik. Saya mahu orang lain memahami bahawa konsep menutup aurat bukan hanya semasa solat sahaja. Justeru, jika sudah menutup aurat dengan sempurna dengan warna tudung berbeza masih boleh bersolat. Sama juga jika hendak solat, tak semestinya telekung warna putih sahaja baru boleh bersolat. 
 
Saya pernah mengaji di sekolah pondok pada tahun 2007 selama sebulan. Memenuhi masa cuti semester di kampus. Saya sangat suka melihat telekung yang dipakai oleh beberapa pelajar pondok di situ. Cantik dan kemas. Mereka menampahnya dengan Mak Su, (kini tleah kembali ke rahmatullah) anak tok guru pondok di situ. Waktu itu saya tidak mempunyai wang untuk membelinya. Harga RM40.00 membeli badan telekung waktu itu cukup besar nilainya. Saya tak mampu lagi. Oleh itu saya menyimpan hasrat untuk menjahitnya sendiri satu hari nanti.
 
Sewaktu berkhidmat di pusat pemulihan sebagai warden, saya melihat reka bentuk telekung impian saya dipakai oleh rakan sekerja saya. Saya merisik-risik harganya, tetapi tidak membelinya. Dalam hati saya mahu jahit sendiri nanti. Saya mencuba. Menggunakan kain Kushibo untuk tudung labuh berwarna ungu, saya menjahitnya. Walaupun tidak cantik, dan jauh daripada yang saya impikan, namun saya terus memakainya. Saya sebenarnya mengimpikan telekung yang menutupi dahi dan dagu dengan kemas di samping tebal atau dilapisi kain tambahan di bahagian dada. Tiada keraguan ketika memakainya. Itu ciri-ciri telekung impian saya.
 
Kedua-dua telekung yang saya jahit itu saya pakai hingga lusuh juga. Dan sudah beberapa generasi menggunakannya.
 
Saya tidak pernah menceritakan impian ini kepada sesiapa. Dalam hati saya, sentiasa berharap agar saya dapat menjahit telekung seperti yang saya impikan dengan cantik dan kemas, serta dapat menjualnya. Disebabkan minat saya dengan telekung, dan impian itu, saya membuka internet dan membuat pencarian. Apakah ada orang menjual telekung seperti itu? Allah membantu. Saya bertemu sebuah fan page yang mengiklankan telekung sama seperti yang saya pernah lihat di sekolah pondok dahulu. Cantik dan patuh syariah. Saya cuba merisik harganya. Kalau mampu saya ingin membeli sepasang. Namun, ketika itu saya tidak punya pendapatan sendiri. Suri rumah sepenuh masa yang hanya mengharapkan suami. Hehe… Harganya memang boleh tahan. Hendak meminta dari suami memang segan. Saya simpan gambar-gambar telekung tersebut dan cuba membuatnya sendiri.
 
Seminggu saya menghabiskan masa untuk mengemaskan bahagian muka supaya sama dengan gambar dan selesa di muka saya. Alhamdulillah saya berjaya. Terasa hendak menitik air mata. Seminggu setelah itu, saya sedang membuka laman facebook. Tanpa saya duga, Allah temukan saya dengan sebuah fan page yang dikendalikan oleh Puan Zai Amaluddin. Beliau menjalankan kursus jahitan telekung dan tudung. Bukan kebetulan, tetapi Allah yang mengaturnya. Saya mencari begitu lama juga, akhirnya bertemu. Mulanya saya ingin menghadiri kursus jahitan telekung tersebut, namun itu hari terakhir beliau adakan sebelum masuk bulan Ramadhan. Atas cadangan beliau, saya cuma membeli pola sahaja. Syukur Ya Allah….Saya mencuba pola tersebut dengan menjahit telekung untuk anak dara kesayangan saya. Alhadmulillah…berjaya. Kami sama-sama memakai telekung baru kami untuk menunaikan tarawikh. Terasa indah sekali saat itu.

MATLAMAT SEHARUM MELUR

Selepas Ramadhan saya mula menawarkan khidmat menjahit telekung kepada rakan terdekat. Sahabat baik saya Hassuna, yang membuat tempahan. Terima kasih Suna. Saya cuba membuka fanpage sendiri untuk mengiklankan telekung saya dengan memberi nama kedai maya saya Seharum Melur, cadangan suami saya. Mulanya saya ingin menamakan syarikat saya dengan nama Rumah Jahit Kak Nisa’, tetapi agak kurang komersial katanya. Setelah berbincang, kami bersetuju untuk memberi nama Seharum Melur, yang membawa makna yang sangat subjektif, ada ciri-ciri keMelayuan dan sifatnya yang punya banyak manfaat.
Pada 1 Ogos 2013, syarikat Seharum Melur berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menjadikan ia Seharum Melur Enterprise. Sumber pasaran saya lebih mengharapkan alam maya. Hidup di tempat baru, di negeri orang saya tidak meiliki ramai kawan atau kenalan. Habis masa saya di rumah bersama anak. Lantas, saya rasa lebih selesa untuk memasarkan produk melalui alam maya.


Kini, bukan hanya produk telekung yang saya hasilkan. Alhamdulillah terdapat produk lain seperti beg sejadah kanak-kanak, beg telekung, tudung labuh, servis ubah suai telekung,  dan lain-lain. Seiring matlamat Seharum Melur Ent. saya mengimpikan syarikat kecil ini mampu berkembang jauh, menghasilkan produk bermutu, mempunyai pekerja yang datang daripada insan memerlukan. Semoga Seharum Melur Ent. ini memberi manfaat kepada insan lain. 


“Sebaik-baik manusia adalah yang mampu memberi manfaat kepada orang lain.”

Salam perkenalan.
Arnisa Soga 

Bangsar / 27 Mei 2014

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Resepi Bergedil Jagung Kak Nisa':)

TUTORIAL : Jubah Menyusu Dengan Lapik Dada

Tutorial: Membuat Jahitan Tepi Halus Menggunakan Mesin Brother Model 3034D