Memandu Ego


Bismillah Wal Hamdulillah...
Panjatkan rasa syukur ke hadrat Yang Maha Penyayang dan Maha Pemurah. 
Assalamualaikum wtb. 

Hari ini istimewa untuk saya. Alhamdulillah, diizinkan untuk menginjak lantai usia ke 31 tahun. Seawal maghrib semalam suami menelefon dari tempat kerja mengajak kami keluar makan. Katanya ingin meraikan hari lahir saya. Hehe…tersipu-sipu diri ini. Memilih tempat berhampiran rumah sahaja bukan main lamanya kerana tapak parkir penuh semuanya. Anak dara kami sudah bising. Ketika memasuki kawasan parkir yang agak jauh dari tempat makan pilihan kami, anak kecil itu berdoa,” Ya Allah bagilah abah dapat tempat parking..Kesian kat kami..”. Suara halusnya terdengar jelas sekali. Comel dan menyentuh rasa hati.

Semasa masuk ke tempat makan, di sebuah restoran sederhana saja, sekumpulan manusia duduk di sebelah meja pilihan kami. Lagaknya seperti sedang berbincang hal penting. Mereka kelihatan begitu asyik bercakap. Sewaktu hampir habis kami makan, mereka keluar.Selesai berbincang barangkali. Beberapa minit kemudian, suami saya meminta izin untuk ke tandas. Tiba-tiba datang seorang wanita yang duduk di meja sebelah kami tadi. Dalam keadaan marah-marah dia dibawa oleh pelayan restoran. Mereka menuju ke meja tadi dan mencari-cari sesuatu. Ah…rupanya telefon bimbitnya tercicir. Katanya di situ. Mereka mencari-cari namun tidak berjumpa telefon yang dimaksudkan. Wanita itu menuju ke bahagian pejabat pengurus restoran.

Sewaktu kami ingin membuat pembayaran, salah seorang pelayan yang melayani kami berkata, “Fon dia hilang, lepas tu tuduh kami staf kat sini yang ambil. Padahal dah berapa ramai customer keluar masuk ke sini.”

Pelayan restoran itu bercakap dengan nada yang kesal. Kesal kerana seolah-olah dipandang rendah dengan tuduhan mencuri.
Seketika, semasa kami hendak keluar restoran itu, wanita tadi kembali lagi ke bahagian meja duduk mereka tadi. Wajahnya benar-benar menampakkan kemarahan. Terus mencari bersama staf restoran tersebut. Namun, yang dicari masih belum jumpa.

Sempat juga kami menyaksikan wanita itu dibawa oleh pengurus restoran ke sebuah meja. Semua staf pelayan yang bertugas dipanggil. Mereka diminta mengeluarkan barang dari dalam beg peribadi masing-masing. Semua barang yang ada dalam beg mereka. Suami saya hanya menggeleng kepala. Sempat dia berkata, “Itu kecuaian dia. Kenapa nak tuduh orang lain?”

Mujur jugalah pengurus restoran itu mahu melayani karenah wanita tadi. Walaupun tidak terdapat dalam piagam sebuah kedai makan,

“Jika ada barang pelanggan hilang, boleh meminta spot check dibuat serta-merta ke atas staf restoran. Termasuk membuka beg peribadi mereka.”

Restoran adalah tempat awam. Sesiapa sahaja bebas keluar masuk. Maka, kehilangan barang bukanlah tanggungjawab kepada pengurus atau staf restoran tersebut.

Sewaktu dalam kereta hendak pulang ke rumah, panjang fikiran saya. Adakalanya,
manusia begitu mudah menghukum orang lain sedangkan dia tidak melihat kejadian yang berlaku itu berpunca dari kecuaiannya sendiri. Apatah lagi yang dihukum itu hanya orang biasa-biasa sahaja. Seperti para pelayan restoran tadi.

Manusia mudah menuduh, cuba menunjukkan kuasa lebih tinggi daripada orang lain. Diri dianggap betul. Membela diri. Proses ini dinamakan mekanisme bela diri. Setiap insan pasti melalui mekanisme ini.

Proses ini sebenarnya fitrah. Ia ada kaitan dengan satu unsur asasi dalam diri manusia iaitu ego. Semua manusia ada ego. Namun, sejauh mana kita mampu mengendalikan keegoan kita, meletakkan ego pada tempat yang adil, atau kita memilih untuk mengikut ego berdasarkan nafsu serakah. 




Ego yang dipandu dengan wahyu Allah melalui hati yang bersih akan menghasilkan insan yang kamil, yang sikapnya mahu menerima kesalahan dan kekurangan diri tanpa banyak bicara. Sanngup ditegur untuk membolehkan kebaikan hadir dalam dirinya. Ego yang dipandu kea rah kebenaran inilah juga turut melahirkan manusia yang sanggup mati di atas jalan perjuangan menegakkan hukum Ilahi. Mereka akan menyatakan kebenaran hingga ke hujung nyawa.

Namun, berbeza dengan ego yang dipandu nafsu serakah dan akal semata-mata. Ego begini akan melahirkan manusia yang rosak hati dan akhlaknya. Tidak ada perikemanusiaan padanya. Ia akan terus berjuang juga, namun perjuangannya hanyalah disertai ego yang tidak mahu menerima kebenaran yang Allah turunkan. Kesilapan diri tidak akan diterima bahkan menuding jari kepada orang lain pula. Kerana ego beginilah munculnya manusia yang  bercita-cita menghancurkan dunia tanpa rasa bersalah. Mewujudkan permusuhan di sana sini. Asal kehendak nafsu dipenuhi. Teguran tidak akan tembus ke hatinya. Hanya melihat diri yang betul sahaja, jauh sekali mahu memperbaiki kekurangan diri.


Ini suatu pengalaman yang pernah saya lalui. Sungguh, bukan mudah untuk menurunkan keegoan. Ia perlu kesedaran mendalam yang lahir daripada hati. Ya, ini adalah soal hati. Hati baik seluruh badan akan baik. Hati busuk, seluruh tingkahlaku kita turut berjangkit baunya. Hati baik memancar sinar ke luar tubuh dengan tingkah laku (akhlak) yang indah, kata-katanya mudah menyentuh hati orang lain. Hati busuk, baunya menjangkit keluar. Setiap tingkah dan kata akan menjadi kesakitan buat orang lain.


Proses menurunkan ego mengambil masa yang panjang. Turun naiknya tidak menentu. Namun, manusia mersti berusaha untuk mendapatkan ego yang dipandu wahyu Ilahi. Selain kesedaran dari hati, kaedah lain juga bleh dipraktikkan :

1.    pandu ia dengan ilmu, hadiri majlis ilmu, banyak membaca kisah jatuh bangun orang lain.
2.    banyakkan bergaul dengan orang miskin, agar hati lentur membantu.
3.    Berbincang dengan orang-orang yang boleh memberi nasihat.
4.    Tundukkan hati dengan memohon maaf dan memaafi. 


5.    Padamkan dendam dari hati.
6.    Rajin membaca Al-Quran agar hati lembut selalu.
7.    Mintalah doa kepada Allah.


"Sebaik-baik manusia adalah yang mampu memberi manfaat untuk orang lain."

 (HR. Ahmad, Thabrani, Daruqutni. Dishahihkan Al Albani dalam As-Silsilah As-Shahihah)

Salam ikhlas penuh ukhuwwah.


Arnisa@Seharum Melur
30 Mei 2014

Comments

Popular posts from this blog

Resepi Bergedil Jagung Kak Nisa':)

TUTORIAL : Jubah Menyusu Dengan Lapik Dada

Tutorial: Membuat Jahitan Tepi Halus Menggunakan Mesin Brother Model 3034D