Mesin Pemotong Kain Elektrik OCTA
Sepi malam mula menyapa. Si Kecil kesayangan sudah dibuai mimpi. Itu pun kerana dipaksa tidur. Diiring tangis dan omelannya meminta coklat, dia tidur tanpa alas. Merajuk kerana mahu coklat tetapi saya tidak membenarkannya. Satu jam mendengar tangisannya barulah dia tidur dengan tenang. Sabarlah ya anak, esok jika panjang umur Mama berikan coklat tersebut.
"Sudah malam, tidak elok makan coklat", saya cuba memujuknya walaupun nampak tidak berkesan.
Tenang melihat wajahnya sewaktu tidur.
Selesai menanti dia benar-benar melelapkan mata, barulah saya bangkit semula menyambung kerja rutin. Malam ini hendak menyambung jahitan tudung sekolah berwarna hitam. Siang tadi Alhamdulillah, berjaya menyiapkan jahitan dan kemasan awningnya. Malam ini ingin mula menyambungkan ke badan tudung. Cabaran menyiapkan tudung ini ialah fabriknya yang berwarna hitam. Mesin saya tidak mempunyai lampu. Model lama. Terkebil-kebil mata saya cuba mengamati setiap mata jahitan ke atas kain.
Baru menyiapkan beberapa helai, saya berehat sebentar. Berbaring, meluruskan pinggang. Sudah beberapa hari sakit belakang saya kembali setelah lama tidak merasainya. Begitulah, antara cabaran yang dihadapi bagi seorang tukang jahit. Sakit belakang, bahu, kaki, dan adakalanya hati turut sakit apabila melalui kesilapan jahitan. Terpaksa ditetas kain tersebut kemudian jahit semula. Kadangkala, kesilapan berulang kembali. Belum lagi masuk kepada cabaran pelanggan yang cerewet. Minta jahit begini, sudah siap, ini tak kena, itu tak kena...Allah... Hanya Allah yang Maha Tahu stresnya hati saya jika bertemu pelanggan begini.
Fabrik hendaklah disusun sama rata.
Tudung hitam ini adalah tempahan daripada guru sekolah rendah Rohingya Sungai Petani. Saya benar-benar tidak menyangka akan menerima tempahan daripada mereka. Pada mulanya tempahan hanya 30 helai, mengingkat menjadi 50 helai. Alhamdulillah. Rezeki datang dari arah yang tidak disangka-sangka. Walau dalam keresahan hati saya yang sedang menghadapi sedikit ujian kewangan, Allah hadirkan sesuatu yang sangat saya perlukan. Kewangan saya agak sesak sedikit. Syukur, tempahan yang ada membuka sedikit hati saya bahawa, Allah memberi menurut keperluan hamba-Nya.
Kali ini, saya lebih yakin dapat menyiapkan tudung ini lebih cepat memandangkan ada pemotong kain elektrik. Rotary cutter jenama OCTA yang dipinjamkan oleh sahabat alam maya saya, Umi amat membantu. Segala-galanya atas bantuan-Mu Ya Allah. Sungguh mudah menggunakan pemotong ini. Fabrik saya susun setebal 4 inci mampu diselesaikan hanya dengan sekali jalan. Sekali lagi cabaran tukang jahit iaitu menggunting kain dapat diselesaikan. Jika biasanya saya hanya menggunakan gunting biasa, sekali potong hanya 4 lapis sahaja paling banyak. Terlalu banyak masa dihabiskan. Kadangkala seharian saya peruntukkan untuk menggunting 15 helai sahaja. Sakit tangan usah kira. Hehe...
Lukis permukaan kain mengikut saiz yang dikehendaki.
Kali ini saiz S dan M menjadi pilihan
Hasil menggunakan pemotong OCTA.
Sangat menjimatkan masa dan tenaga.
Belum dikira 'iklan-iklan' tambahan daripada anakanda. Ketika baru hendak memulakan tugasan, dia akan datang meminta susu, makanan, mengajak main dan sebagainya. Jika tidak dilayan, gemuruh satu rumah suaranya bergema. Jika begitu, biasanya saya akan menunaikan dahulu hajatnya. Pasti dia akan diam. Walapun seketika kemudian dia akan datang lagi meminta itu ini menurut kehendaknya. Begitulah anak-anak. Pantang tidak diberi perhatian, ada sahaja 'onar' dilakukannya. Bagi seorang ibu yang bekerja di rumah, harus bijak mengendalikan situasi begini. Pada awalnya saya sangat stres. Alhamdulillah, perlahan-lahan keadaan ini sebati dengan diri apatah lagi apabila berdepan dengan kehidupan hanya kami berdua sahaja di rumah.
Oh, nampaknya sudah jauh saya berceloteh. Sebenanya untuk entri kali ini saya ingin berkongsi pengalaman menggunakan pemotong elektrik jenama OCTA yang sangat menakjubkan. Hehe... Biar video yang berbicara. Selamat menonton.
Gunakan mesin ini dengan yakin. Mulakan dengan Bismillah.
Tangan mesti pantas menggerakkan mesin
supaya tidak ada perca kain yang bergumpal di bahagian pisau.
http//: arnisasoga.blogspot.com
Comments
Post a Comment