Kisah 50 Helai Tudung: Hanya Cerita Biasa Saja

Bismillah...

           Lama tak menyapa blog ini. Tugasan  yang ada masih banyak untuk disiapkan. Kelas blog memang mencabar untuk saya yang masih sangat baru untuk menjinakkan diri dalam dunia penulisan blog. Mujur saja saya ditakdirkan untuk belajar dengan seorang guru yang baik dan sabar. Seandainya saya yang menjadi guru penulisan blog dan punyai murid seperti saya ini, pasti ramai yang sudah kena cubit. Hehe...

          Untuk entri kali ini, saya ingin bekongsi cerita kehidupan saya yang biasa-biasa saja. Tidak ada yang terlalu menarik. Namun, saya yakin dan percaya, sesuatu yang biasa-biasa itu andai saja ia baik dan bermanfaat ia pasti membawa kesan yang luar biasa. 

        Dua hari lepas saya berjaya menyiapkan 50 helai tudung sekolah untuk pelajar prasekolah. Saya menggunakan fabrik jersy micro fiber. Mungkin bagi yang sudah lama dalam bidang jahitan, jumlah itu tidaklah banyak dan masih biasa-biasa sahaja. Namun, untuk saya yang masih setahun jagung dalam bidang ini, nilai itu cukup besar maknanya. Untuk pertama kalinya, saya menerima tempahan secara pukal. Buat julung kalinya Allah izinkan saya menyiapkan jumlah itu dalam masa yang singkat. 3 hari. Bertarung dengan perasaan malas, letih dan tidak sihat. Selesai juga akhirnya. Alhamdulillah, segalanya dengan izin-Mu ya Allah. Tiada daya melainkan Engkau. 

Tudung yang telah siap dan diasingkan mengikut saiz.
Tudung yang berlonggok tu perlau dibasuh kerana ada kesan minyak mesin.



          Tudung sekolah ini kategori awning lembut yang mudah dibasuh dengan mesin. Nampanya, reka bentuk tudung ini sudah semakin disukai, apatah lagi para ibu. Pastinya kerana cara penjagaannya mudah berbanding tudung awning keras. Silap masuk ke dalam mesin basuh, habis awning rosak. 

Model tetap saya sedang menggayakan tudung saiz S


          Sebenarnya, dalam 50 helai tudung ini, saya menggunakan fabrik yang agak berbeza dari segi warna fabrik. Putih nila dan putih tulen. 28 helai permulaan saya menggunakan stok fabrik putih nila yang ada dalam simpanan Seharum Melur. Saya menganggarkan ia mencukupi untuk menampung jumlah 50 helai. Namun, setelah dikira ia jauh tak mencukupi. Ahh...sedikit stres. Silap saya kerana tidak membajet dengan betul. 
 
          Esoknya, saya membuat pesanan atas talian untuk stok kain tersebut. Saya sangat lega apabila tuan kedai masih sudi membuat penghantaran melalui khidmat KTM Berhad. Saya menanti hari esok. Hingga malam pesanan saya belum tiba. Saya menjangkakan esok pula akan sampai. Biasanya khidmat penghantara barang menggunakan KTM Berhad bagi barang seperti fabrik secara kayu, hanya mengambil masa 1-2 hari. Namun, hari ketiga pesanan masih belum sampai. Petangnya, si tuan kedai menelefon saya. Katanya, KTM di kawasannya ada sedikit masalah dan tidak dapat membuat penghantaran. Beliau berjanji akan menghantarnya sendiri menggunakan lori syarikatnya. Dua hari saya menanti namun lori yang ditunggu tak kunjung tiba jua. 

           Akhirnya, tuan kedai tersebut menghubngi saya dan meminta maaf kerana tak dapat membuat penghantaran. Beliau meminta saya datang sendiri ke kedainya dan berjanji akan memulangkan wang kos penghantaran. Wah...saya sedikit bingung kerana memikirkan mahu meminta bantuan siapa pula untuk ke kedai tersebut. Maklum sahaja saya tidak pandai memandu. Hehe (ini harus diperbaiki). Akhirnya saya bercadang untuk menaiki bas sahaja ke tempat tersebut. Saya menghubungi sahabat saya moga-moga beliau dapat menemani saya. Namun, Alhamdulillah...beliau sudi menyewa kereta dan menghantar saya. Syukur. Bayar lebih sedikit pun tak kisah kerana dalam kepala saya sudah berlegar, "alang-alang ke sana naik kereta bolehlah beli stok kain untuk projek lain pula."

          Hari berikutnya, seawal pagi saya bertolak. Sempat singgah makan bersama sahabat yang dimaksudkan. Banyak cerita yang kami kongsi memandangkan sudah lama tidak bertemu. Begitulah tingginya nilai persahabatan. Sahabat yang baik selalu hadir saat kita memerlukan. Tanpa ada rasa susah meski dalam hati saya tetap rasa sudah menyusahkannya. Semasa membeli kain di kedai pembekal, saya berkenalan pula dengan seorang pekerja yang sangat baik hati. Dia setia melayani saya dari mula hingga saya keluar kedai. Kebiasaannya, saya ditemani seorang pekerja perempuan Melayu yang sudah sangat mengenali saya. Namun, nampaknya kali ini dia nampak tidak sihat. Saya seronok berkenalan dengan pekerja baru itu. Dalam dunia bisnes, jalinan hubungan dengan manusia itu sangat perlu. Berkenalan, berkawan adalah konsep yang sangat penting, kerana kawan dan kenalan juga adalah sumber pasaran kita. Dari bisnes juga kita beroleh ramai kenalan. Sumber kekuatan kita untuk terus ke hadapan. 

          Dipendekkan cerita, sewaktu sahabat saya menghantar saya pulang ke rumah, kereta rosak pula di tengah jalan. Pada waktu itu, tiada lain dalam fikiran saya, Allah sabarkanlah hatiku. Terasa begitu menguji menyiapkan tudung sekolah ini. Air mata saya mula hendak menitik. Mujur anak saya tidak banyak karenah dan seolah-olah dia teruja melihat kereta sewa kami berasap akibat kehabisan air. Sifat kanak-kanak yang suka mahu tahu itu saya biarkan saja. Biarlah dia belajar sesuatu asal tidak membahayakn dirinya. Dari jauh dia memandang orang-orang yang behenti untuk membantu kami. Dalam beberapa minit, kami didatangi seorang lelaki. Dia memperkenalkan dirinya sebagai mekanik kereta. Pantas dia memeriksa kereta itu. Kami bertanya sesama sendiri siapa yang memanggil beliau. Rupa-rupanya dia memberitahu bahawa dia kebetulan lalu di situ. Allah...pasti ini bukan kebetulan, namun ketentuan-Mu. Terima kasih. Tiada ungkapan lain. Dia mengajar dan menunjukkan beberapa tanda kereta berada dalam suhu panas, dan beberapa kerosakan lain. Maka, bertambah terasa kasih sayang-Mu ya Allah. Pelajaran yang diperolehi pada hari itu terlalu besar ertinya. Saya dan sahabat saya masih sangat baru untuk mengetahui selok belok kereta. Dia baru memiliki lesen sedangkan saya sudah lama punya lesen tetapi masih takut memandu (sekali lagi saya katakan ini harus diperbaiki).


          Setelah segalanya selesai kami pulang ke rumah dan teringat kepada lelaki yang membantu tadi. Sudahlah kerjanya pantas, bayaran pula murah, ketika poket kami tidak punya banyak duit. Hanya cukup-cukup sahaja. Allah, Engkau sebenarnya Maha Mengetahui keperluan hamba-Mu. Kau selalu hadir ketika kami memerlukan-Mu. Maka nikmat mana lagi yang harus didustakan?

"Barang siapa yang bertaqwa kepada ALLAH s.w.t nescaya DIA akan mengadakan baginya jalan keluar,
dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka,
dan barang siapa yang bertawakkal kepada ALLAH s.w.t nescaya ALLAH s.w.t akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya ALLAH melaksanakan urusan (yang dikehendakin)nya. Sesungguhnya ALLAH telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."
(Surah AT-TALAQ : Ayat 2-3)



http:// arnisasoga.blogspot.com


Comments

Popular posts from this blog

Resepi Bergedil Jagung Kak Nisa':)

TUTORIAL : Jubah Menyusu Dengan Lapik Dada

Sejarah Mesin Jahit