Mengajar Anak Tidur di Bilik Sendiri: Cadar Pertama Buat Syuhada'
Mendidik anak memang memerlukan kesabaran. Asas Islami dalam kehidupan mesti kita pelajari dan amalkan. Apatah lagi ketika anak sudah mula membesar dan mula memahami perkara abstrak dalam aktiviti sehariannya.
'Awwaluddin Ma'rifatullah'
Awal agama mengenal Allah.
Satu hari, ketika saya sedang mengemas bilik jahitan saya, anak saya Syuhada' yang berusia tiga tahun 7 bulan datang menyapa saya.
"Mama, kenapa Mama salam dan peluk abah. Mama kan girl, abah kan boy. Girl dengan boy mana boleh pegang-pegang, joget-joget, peluk-peluk.", dia berbicara penuh semangat hingga butir katanya seperti orang dewasa. Saya terkejut. Dalam hati rupanya anak saya ini membuat pemerhatian dan mula membanding dengan nasihat yang pernah saya berikan kepadanya.
"Kat mana Syuhada' tengok Mama peluk abah?"
"Kan pagi tadi Mama salam abah dan peluk abah, masa abah nak pergi kerja tu.", dia terus memberi penjelasan. Kepala saya sudah ligat berfikir, jawapan yang perlu saya berikan kepadanya supaya dia faham.
"Oh, memanglah kalau boy dan girl tak boleh pegang-pegang, peluk-peluk. Tapi kalau suami isteri boleh. Mama kan isteri abah. Abah pula suami Mama.
"Iye ke? Tapi Syuhada' takda suami pun," dan dia berlalu pergi, menyambung permainannya. Saya tak pasti apakah dia faham. Nampak gayanya seperti tidak faham. Hehe...
Sebenarnya, saya selalu mengingatkan dia,
"Boy dan girl kena jaga pergaulan. Tak boleh peluk-peluk, pegang-pegang. Tu kan tak elok."
Semua ini bermula sewaktu guru sekolahnya pernah memberitahu saya dia suka bermain dan bergaul dengan rakan kelas berjantina lelaki sahaja. Cara dia bermain adakalanya sedikit kasar seperti budak lelaki. Saya pernah bertanya dia dan dia memberikan alasan,
"Mama, kawan girl suka nangis. Syuhada suka kawan boy sebab boy baik. Boleh main dan makan sama-sama."
Saya menyambung kerja mengemas bilik jahitan dengan fikiran melayang-layang.
"Anakku sudah besar rupanya. Semakin banyak persoalannya yang memerlukan jawapan yang jelas yang mudah dia faham."
Sewaktu suami saya pulang ke rumah, saya menceritakan kejadian siang tadi kepadanya. Sambil tersenyum dia menjawab,
"Dia dah besar. Kita kena mula pisahkan tempat tidurnya dengan kita. Kena setting bilik dia sendiri."
Wah, suatu tugas baru yang besar bagi ibu yang tidak punya pengalaman seperti saya. Menidurkan dia saja memerlukan masa sejam dua untuk dia mengulit di tepi saya sebelum matanya benar-benar tertutup. Sejak lahir, Syuhada' tidak pernah saya tinggalkan bermalam. Sememangnya sewaktu hendak tidur dia mesti mahu saya tidurkan. Anak ibulah katakan. Hehe...
Alhamdulillah, dua bulan latihan untuk dia biasakan diri tidur sendiri sudah mula menampakkan hasil. Sewaktu dia ingin tidur di bilik kami, saya akan bawa dia ke biliknya. Adakalanya, sewaktu tidur dia di biliknya, tengah malam dia akan bangun dan bila saya sedar waktu Subuh dia sudah ada di sebelah saya. Pernah suatu hari juga saya lihat dia tidur di lantai tepi katil saya. Sungguh lucu dan kasihan juga. Saya sendiri juga seperti terasa kekurangan apabila tidur malam tanpa dia. Hehe...Apakandaya, tarbiyyah untuk anak mesti bermula dari kecil bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Untuk kali pertamanya juga saya menyiapkan cadar untuk anakanda saya. Alhamdulillah.Cadar daripada kain cotton berkualiti yang sangat selesa.
Namun, sayang tak cukup untuk buat ropol tepi. Hanya ini sahaja yang dapat dibuat.
Comments
Post a Comment