Mak Cik Sya yang Menginspirasikan

Kemarin, saya bersama anak-anak singgah solat Zohor di sebuah masjid. Rancangan hendak ke Jabatan Haiwan membawa si Ben yang sakit. Saat kami sedang bersiap untuk berwudhu', saya terserempak cleaner masjid, yang mesra dengan panggilan Mak Cik Sya.

Mak Cik Sya sangat penyayang dengan kucing. Hampir setiap kali kami bertemu di masjid, perkara utama yang akan dibualkan beliau adalah berkenaan kucing, terutamanya kucing-kucing di masjid itu. Setiap hari Mak Cik Sya akan membawa makanan dari rumahnya untuk diberi kepada kucing-kucing di masjid tersebut. Bukan setakat beri makanan, segala najis kucing  dan tempat tidur kucing-kucing di situ pun Mak Cik Sya uruskan. Sewaktu hendak berlalu ke ruang solat, sempat Mak Cik Sya bertanya,

" Anak mau balik sudah lepas solat?"

"Lepas ni ke Klinik Jabatan Haiwan dulu Mak Cik. Bawa kucing saya, cirit birit teruk sudah. Di situ murah juga kosnya." Jawab saya pantas.

"Oh, bolehkah bawa sekali Si Putih? Sama juga sakit begitu. Kesian sampai luka punggungnya. Mak Cik susah bah kalau bawa dia. Naik bas jak kan." , Mak Cik Sya rupanya ingin meminta tolong.

" Ya Allah, boleh bah Mak Cik. Tapi Mak Cik balut dulu badannya ya. Takut dia tercirit dalam kereta. Kucing saya pun dalam kotak. Saya kasi pakai kain k"
macam lampin."

Mak Cik Sya tersenyum gembira.
"Mak Cik ambil dulu Si Putih. Mak Cik tunggu di pintu ya." Katanya.

Seusai solat, anak-anak siap menunggu dalam kereta, Mak Cik Sya menghulurkan Si Putih, berkaca-kaca mata Mak Cik Sya.

"Nanti sudah sembuh, bawa ke sini balik ya. Biar Mak Cik jaga. Kesian kamu pun banyak sudah kucing. Nanti Mak Cik bagi duit ubatnya. Terima kasih ya nak." Penuh pengharapan MaK Cik Sya berkata.

Mak Cik Sya memang begitu. Cepat terharu. Apatah lagi hal berkaitan kucing. Adakalanya,  Mak Cik Sya tidak mampu melelapkan mata saat tidur malam di rumahnya jika teringat kucing-kucing yang dijaganya di masjid. Risau sungguh dia andai kucing-kucing itu tidak makan. Pernah suatu hari, kami anak beranak singgah solat Asar di situ. Sewaktu hendak balik, tiba-tiba nama saya dipanggil. Rupanya Mak Cik Sya ingin meminta tolong belikan minyak gamat untuk seekor kucing di situ. Kucing yang sudah uzur dan kami selalu panggil dengan nama Papa. Papa adalah jucing jantan tua, dijangkiti kurap yang teruk di kepala.  Mak Cik Sya menangis menceritakan dia tidak mampu membawa Papa balik ke rumah untuk dirawat memandangkan  dia hanya menaiki bas. Papa yang seakan mengerti kami sedang berbual tentangnya, datang menggesel di kaki Mak Cik Sya.

Sehingga hari ini, Mak Cik Sya konsisten menjaga kebajikan kucing-kucing di masjid tersebut. Ketika begitu ramainya manusia hidup tanpa belas kasihan terhadap haiwan, Mak Cik Sya hadir membantu kucing-kucing yang dia sendiri tidak tahu datang dari pelusuk mana. Mak Cik Sya tidak pernah meminta kucing-kucing itu datang ke masjid tempatnya bekerja, menambah tugas-tugasnya sebagai cleaner masjid. Dia hanya tahu itulah kebajikannya dan pasti ada hikmahnya. Mungkin saja Allah mahu memberi pahala lebih dan mengangkat darjat iman Mak Cik Aisyah dengan berbakti kepada haiwan.
Kagum saya dengan orang sepertinya. Mak Cik Sya tidak kaya, hidup seadanya. Namun, masih mampu memberi. Ya, memberi tanpa rasa rugi tanpa rasa kesal apatah lagi mengeluh.

'Kita sentiasa ada untuk memberi.'

Tugas Mak Cik Sya sebagai tukang bersih masjid juga tugas yang mulia meski tidak semua orang memandangnya.  Teringat  saya kepada kisah Ummu Mahjan, tukang sapu masjid yang sering disebut namanya oleh Rasulullah. Walaupun amalnya sederhana, tetapi dia konsisten melakukan tugas itu sehingga pemergiannya membuatkan Rasulullah sedih.

Berbuatlah kebaikan walaupun hanya sekadar membuang duri di atas jalan. Kita tidak tahu, amalan baik yang mana satukah yang akan membawa kita ke syurga? Teruskan memberi manfaat dan jadilah ejen kebaikan.
Terima kasih Mak Cik Sya kerana memberi inspirasi kepada yang mahu berfikir. Semoga Allah merahmati usaha Mak Cik Sya dan beroleh ganjaran syurga.

Arnisa, 17 Ogos 2019
''Redha-Mu Aku Damba'

Comments

Popular posts from this blog

Resepi Bergedil Jagung Kak Nisa':)

TUTORIAL : Jubah Menyusu Dengan Lapik Dada

Tutorial: Membuat Jahitan Tepi Halus Menggunakan Mesin Brother Model 3034D